Sekilas
- Mualim Muda Yusuf tersingkir pada minggu keempat Mualim Muda 2 selepas persembahan bertemakan Satu Rumah Seribu Cerita bersama qari jemputan Ustaz Mohamad Husaini Mahmur.
- Mualim Muda Aizudin dinobatkan sebagai Mualim Muda Tergempak minggu ketiga hasil undian penonton.
- Program ini disiarkan setiap Sabtu di Astro Oasis dan Astro Prima serta boleh distrim di Astro GO dan Sooka, dengan penilaian juri berpengalaman dan bimbingan Mursyid Ustaz Shahrizan Daud.
Perjalanan Mualim Muda Yusuf dalam Mualim Muda 2 akhirnya terhenti apabila diumumkan sebagai peserta tersingkir pada minggu keempat pertandingan tersebut.
Yusuf yang menyampaikan topik Pilihan Pasangan bersama qari jemputan, Ustaz Mohamad Husaini Mahmur, berada di kedudukan tiga peserta terbawah bersama Mualim Muda Raja dan Mualim Muda Haiqal.
Menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka, Yusuf turut mengambil kesempatan untuk merakamkan penghargaan kepada barisan juri, pihak produksi serta rakan-rakan seperjuangan yang bersama-sama melalui pengalaman sepanjang pertandingan.
"Alhamdulillah, terima kasih kepada juri, kru dan sahabat-sahabat saya. Teruskan perjuangan anda," katanya ketika mengakhiri perjalanan dalam program berkenaan.
Sementara itu, Mualim Muda Aizudin sekali lagi mencuri perhatian apabila dinobatkan sebagai penerima gelaran Mualim Muda Tergempak hasil undian bagi minggu ketiga.
Berikut merupakan senarai markah penuh:
Untuk minggu keempat, kesemua peserta diberikan tema Satu Rumah Seribu Cerita dengan mengetengahkan isu kekeluargaan menerusi pendekatan dakwah berlandaskan al-Quran.
Menariknya, setiap peserta bergandingan dengan qari jemputan bagi menyampaikan mesej berkaitan isu kekeluargaan yang tragis, selain mengupas hikmah serta panduan yang terkandung dalam ayat-ayat suci al-Quran.
Persembahan mereka turut diserikan dengan alunan bacaan al-Quran daripada qari yang pernah menyertai Pertandingan Majlis Tilawah Al-Quran di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Kesemua peserta dinilai oleh barisan juri berpengalaman iaitu Datuk Ustaz Kazim Elias, Ustazah Asni Mansor dan Prof. Datuk Dr. Mohd Izhar Ariff.
Dalam pada itu, Ustaz Shahrizan Daud kembali menggalas tanggungjawab sebagai Mursyid atau pengetua program bagi membimbing serta memberikan motivasi kepada para peserta sepanjang pertandingan berlangsung.
Musim ini turut menampilkan Atu Zero yang bergandingan dengan penyanyi nasyid, Fakhrul UNIC sebagai hos program.
Untuk rekod, Mualim Muda 2 bersiaran setiap Sabtu menerusi Astro Oasis (saluran 106) dan Astro Prima (saluran 105) bermula 31 Oktober 2026.
Program ini juga boleh distrim menerusi platform On Demand di Astro GO dan Sooka.