Seorang lelaki ditahan oleh pihak polis bagi membantu siasatan berkaitan kes pergaduhan yang mengakibatkan kematian mangsa di Jalan Lama Pasir Putih-Machang di hadapan Hospital Machang, Kota Bharu, Kelantan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, suspek yang berusia 46 tahun itu ditahan selepas hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Machang untuk membuat laporan polis.

Menurutnya, siasatan awal mendapati motif kejadian ialah suspek mengesyaki mangsa mempunyai hubungan sulit dengan isterinya.

"Suspek bekerja di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur manakala mangsa dan isteri suspek merupakan penjawat awam di sebuah jabatan yang sama di Kuala Krai," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau memberitahu, pergaduhan mengakibatkan mangsa yang berusia 51 tahun itu meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Machang.

"Mangsa mengalami kecederaan dan pendarahan serius di bahagian muka selain parah di kedua-dua mata dan patah tulang rusuk sebelah kiri," katanya.

Selain itu, beliau berkata, pergaduhan yang berlaku tanpa sebarang senjata itu turut mengakibatkan suspek mengalami kecederaan di kedua-dua belah tangan.

"Siasatan lanjut mendapati kedua-dua mereka tiada sebarang rekod jenayah manakala suspek pula negatif dadah.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan suspek akan dibawa ke Mahkamah Machang Isnin untuk tahanan reman di bawah Seksyen 117 KPJ bagi siasatan lanjut," katanya.

Media sebelum ini melaporkan seorang penjawat awam maut dalam pergaduhan di hadapan sebuah kedai di Machang.

Saksi kejadian mendakwa, kedua-dua mereka berada di hadapan sebuah kedai untuk berbincang sebelum berlaku pergaduhan serius di antara mereka.

Gambar dan video pergaduhan kedua-dua mereka tular di media sosial.

Sumber: Sinar Harian
Kredit foto: Kosmo! Online dan Harian Metro

BACA: “Dah Ready Untuk Raya Dalam Lokap Ke Tu?” - Netizen Tak Boleh Brain Tengok Pelajar Bergasak Dalam Kelas​