Viral
Dituduh Bongkak Sebab Pertikai Bayaran RM500 Sehari, Ini Respons Azlee Senario
Pelakon dan pelawak, Azlee Senario enggan mengambil pusing mengenai kata-kata kurang manis yang dilemparkan kepada dirinya susulan kenyataannya mengenai bayaran murah yang diterima baru-baru ini viral di media sosial.
Azlee berkata, individu yang mengkritik dirinya itu sama sekali tidak mengerti tentang sebalik tabir dunia hiburan, apatah lagi kadar bayaran semasa untuk para pelakon serta penggiat seni yang aktif di Malaysia.
Bukan pelakon
“Yang komen itu bukan pelakon. Mereka tidak tahu rate pelakon, pengacara… mereka tidak tahu. Jadi, mereka main bantai sahaja.
“Tapi lantaklah, mereka mempunyai hak untuk bersuara. Namun, kita sebagai artis perlu memperjuangkan hak anak seni. Kita tak kacau orang pun. Kita bersuara atas dasar hak. Jadi nilai-nilaikan,” katanya ketika dihubungi Gempak.
Azlee berkata demikian bagi mengulas dakwaan seorang individu di platform X yang mempertikaikan kenyataan Azlee terhadap bayaran RM500 sehari yang diberikan kepadanya baru-baru ini.
Individu tersebut juga mendakwa Azlee tidak bersyukur, selain kumpulan lawak Senario yang dikatakan telah ‘terkubur’.
Senario masih aktif
Melanjutkan bicara mengenai status kumpulan yang melonjakkan namanya, Azlee berkata, Senario masih aktif.
“Eh, kami masih aktif. Kami sekarang tengah ligat. Sebenarnya, dia tidak nampak Senario bergerak secara berkumpulan. Kami ni berenam, dan penganjur kadang-kala tidak mampu bayar keenam-enam kami.
“Jadi, ada penganjur yang hanya minta tiga orang, ada juga dua orang dan kadang-kadang seorang sahaja. Sebab tu orang tak nampak,” katanya lagi.
Sungguhpun dikecam oleh seorang individu, ramai dalam kalangan netizen memberi support dan membela Azlee di platform berkenaan.
Sitkom
Selain itu, Azlee turut berasa terharu kerana peminat masih banyak yang ingin melihat dia dan Senario bergabung dan kembali memeriahkan industri hiburan menerusi penerbitan sitkom.
“Fans Senario ramai. Ramai dalam kalangan mereka yang DM saya dan beritahu jangan layan hal yang toksik. Mereka nasihatkan saya supaya teruskan kerja dan mahu lihat Senario kembali aktif menerusi sitkom.
“Kami boleh sahaja berlakon sitkom, tapi bergantung kepada pihak stesen televisyen sama ada mereka berminat untuk terbitkan atau tidak,” katanya mengakhiri perbualan.
ARTIKEL BERKAITAN: “Bukan Minta Sedekah, Orang Yang Bagi” - Azlee Senario Raih RM15,000 Di TikTok, Syukur Dapat Bayar Duit Kereta & Rumah
ARTIKEL BERKAITAN: “Kami Nak Peminat Tahu Sebenarnya…” - Ramai Tak Tahu, Rupanya Ini Asal Usul Nama Senario!
Must-Watch Video