Dakwaan yang dibuat seorang warganet menggunakan nama A terhadap salah seorang anggota kumpulan Stray Kids, Hyunjin sebagai kaki buli pada zaman persekolahan akhirnya dijawab bintang K Pop itu.

Dalam pengakuan yang dibuat pada 22 Februari lalu, A mendakwa pernah dibuli sewaktu berada di sekolah menengah. A mengatakan dibuli selepas Hyunjin mengetahui dia sedang mengikuti kelas dan mempersiapkan dirinya untuk menjadi artis.

Setelah beberapa hari isu tersebut menjadi buah mulut di alam maya, Hyunjin akhirnya bersuara. Dalam surat dengan tulisan tangan, Hyunjin yang baru berusia 20 tahun itu tidak menafikan telah membuli beberapa rakannya dahulu.

Dia bagaimanapun tidak dapat mengingati semua mangsa bulinya dan membuat permohonan maaf kepada mereka yang pernah disakiti.

"Pertama sekali saya ingin meminta maaf kepada semua yang pernah saya sakiti dengan perlakuan tidak elok sewaktu zaman persekolahan.

"Memandang semula ke belakang, saya malu dan tiada alasan. Saya sedar tindakan dan perkataan saya boleh mendatangkan 'kesakitan' kepada orang lain. Walaupun ini sudah terlewat, saya tetap ingin meminta maaf," tulis pemuda yang lahir pada 20 Mac 2000 itu seperti dipetik dari Soompi.

Hyunjin kemudian melanjutkan kenyataan dengan mengatakan dia menerima seandainya tidak dimaafkan lantaran sikap buruknya dahulu.

"Saat ini saya sedang merenung dan akan memperbaiki diri kerana walaupun saya meminta maaf dan telah dimaafkan, itu tidak bermakna seluruh kepedihan yang saya berikan terhadap mereka pada masa lalu akan terhapus.

"Jadi walaupun ini memalukan, saya meminta kepada semua mangsa agar membenarkan saya menemui kalian untuk meminta maaf melalui surat ini," katanya yang juga meminta maaf kepada peminat kerana mengecewakan mereka dengan sikap buruknya.

Sebelumnya, pihak agensi, JYP juga sudah mengeluarkan kenyataan rasmi dengan meminta agar peminat tidak menyebarkan berita palsu sehingga ia benar benar sahih dan dikongsikan kepada umum.

Kredit Foto: Soompi