Sekilas
- Pelakon Julia Farhana Marin mengesahkan dia dan bekas suaminya, Dr. Che Muhammad Hafiz Che Baharum, sudah bercerai pada Selasa.
- Julia meluahkan rasa terima kasih atas segala pengorbanan bekas suaminya dan berharap mereka berdua dapat memaafkan kesilapan masing-masing serta menjalani kehidupan baharu tanpa dendam.
- Julia turut mendoakan kebahagiaan, ketenangan, dan kesihatan baik untuk bekas suaminya serta mengakhiri surat terbuka dengan doa agar Allah SWT mengampunkan kekurangan mereka dan mempermudahkan perjalanan hidup masing-masing.
Pelakon Julia Farhana Marin mengesahkan dia dan bekas suaminya iaitu Dr. Che Muhammad Hafiz Che Baharum sudah bercerai pada Selasa.
Menerusi perkongsian di Instagram, Julia meluahkan rasa terima kasih atas segala pengorbanan dan usaha bekas suaminya sepanjang mereka berkahwin.
“Saya berharap awak dapat memaafkan segala kesilapan saya, sebagaimana saya juga sudah berdamai dengan segala yang berlaku dan memaafkan awak.
“Saya tidak mahu membawa sebarang rasa dendam atau terkilan dalam kehidupan baharu yang bakal kita lalui.
“Saya akan sentiasa menghargai tahun-tahun yang pernah kita lalui bersama, pengalaman yang membentuk diri kita, segala pengajaran yang diperoleh serta kenangan sepanjang fasa kehidupan tersebut.
“Tidak semuanya sempurna, tetapi itu tidak bermakna segala yang pernah kita lalui tidak mempunyai nilai,” tulisnya.
Dalam pada itu, Julia turut mendoakan agar bekas suaminya dikurniakan kebahagiaan, ketenangan, kesihatan yang baik serta menemui insan yang mampu memahami dan menghargainya.
“Lebih daripada segalanya, saya berharap kita berdua menemui ketenangan yang mungkin tidak berjaya kita temukan ketika bersama.
“Kita pernah menjadi dua insan yang memilih satu sama lain, membina kehidupan bersama dan benar-benar berusaha mempertahankan hubungan ini.
“Saya rasa itu sesuatu yang wajar dihargai meskipun kebersamaan kita tidak selama yang pernah dibayangkan.
“Saya mendoakan yang terbaik buat awak. Terima kasih kerana pernah menjadi sebahagian daripada kehidupan dan perjalanan kisah saya,” ujarnya.
Mengakhiri surat terbuka tersebut, Julia turut menitipkan doa agar Allah SWT mengampunkan segala kekurangan mereka, mempermudahkan urusan serta menyembuhkan segala luka yang masih tersimpan di hati.
“Semoga Allah mengampunkan segala kekurangan kita, mempermudahkan perjalanan hidup, menyembuhkan segala luka yang masih tersisa dalam hati dan mengurniakan kebahagiaan buat kita berdua dalam kehidupan mendatang.
“Jaga diri baik-baik. Dan terima kasih atas segalanya, Che Hafiz,” tulisnya.
Terdahulu, Julia mendedahkan dia sudah tujuh bulan tidak bertemu dengan suaminya iaitu Dr Che Muhammad Hafiz dan kini dalam proses untuk memfailkan perceraian.
Untuk rekod, Julia mendirikan rumah tangga dengan Dr Che Hafiz pada 14 Disember 2022.