Berita
“Doakan Saya & Semua Anak Istimewa Disayangi”- Surat Dari Remaja Autisme Ni Buat Datuk Dr. Zulkifli...
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Dr. Zulkifli mengakui terharu apabila sekali lagi menerima surat dari seorang remaja autisme bernama Wan Aiman.
Menurut Dr. Zulkifli, Wan Aiman atau lebih mesra dengan panggilan Aiman sudah mengikutinya sejak beberapa tahun lepas dan sering mengirimkannya surat.
“Bagi yang mengikuti saya sejak beberapa tahun lepas, pasti kenal Wan Aiman, remaja autisme ini.
“Dia suka menulis surat kepada saya dan menurutnya, beliau sentiasa mengikuti perkembangan saya.
“Pagi ini (semalam) dia memberikan sepucuk surat kepada saya selepas Kuliah Dhuha Muslimat di Surau Annur, Bandar Baru Bangi.
“ Saya amat terharu dengan kepercayaan dan harapan yang dia berikan kepada saya. Saya doakan anakanda Aiman membesar menjadi anak yang soleh, bijak, dan membanggakan kedua-dua ibu bapa bila dewasa nanti,” katanya.
Dr. Zulkifli berkongsi perkara tersebut di akaun Instagram miliknya.
Menerusi perkongsian itu, beliau turut memuat naik fotonya bersama remaja autisme tersebut serta surat berkenaan.
Antara isi kandungan surat tersebut yang menyentuh hati netizen adalah apabila Aiman meminta Dr. Zulkifli mendoakan dia dan semua anak istimewa yang lain.
“Tujuan Aiman menulis surat ini mohon Ustaz Dr. Zulkifli mendoakan moga Aiman dan anak istimewa semua disayangi,” tulisnya.
Kebanyakan pengguna media sosial sebak dengan dan dalam masa yang sama turut mendoakan kesejahteraan adik Aiman.
“Terharu dan sedih saya baca surat Aiman, saya juga ada anak istimewa,” komen seorang pengikutnya.
“Semoga Aiman membesar menjadi anak yang soleh,” kata seorang wargamaya.
“Bertuahnya anak istimewa ini,” ujar seorang netizen.
Dr. Zulkifli yang sebelum ini merupakan Mufti Wilayah Persekutuan itu telah dikagumi ramai dengan keperibadiannya yang mulia.
Must-Watch Video