Berita
Dr. Zulkifli Didakwa Tidak Jaga Penjarakan Sosial & Langgar PKP, Polis Terima Dua Laporan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berdepan dua laporan polis atas dakwaan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Memetik laporan The Malaysian Insight, Ketua Polis Kajang, Mohd Zaid Hassan mengesahkan kertas enkuiri polis sudah dibuka untuk siasatan awal sebaik laporan itu diterima.
“Setakat ini kami menerima dua laporan polis. Buat masa ini rakaman percakapan pengadu sudah dibuat.
“Keterangan bagi pihak lain akan diambil setelah mendapat arahan daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor,” katanya dalam satu kenyataan media.
Semalam, Malaysiakini melaporkan sekurang-kurangnya terdapat lima laporan sama terhadap Zulkifli yang dibuat di Selangor, Johor, Kelantan, dan sebahagiannya dibuat awal bulan ini.
Manakala laporan polis di Balai Polis Kajang yang tular di media sosial dibuat pada 3 Mei.
Dalam laporan berkenaan, pengadu mendakwa bekas mufti Wilayah Persekutuan itu melanggar PKP berdasarkan gambar aktivitinya sebagai menteri yang dimuat naik di laman sosial miliknya.
Laporan tersebut mendakwa Zulkifli tidak menjaga jarak dalam satu majlis pertukaran pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 31 Mac lalu.
Beliau juga didakwa sekali lagi tidak menjaga jarak dalam dua mesyuarat berasingan pada 13 dan 14 April di pejabatnya di Putrajaya.
Laporan itu juga menyebut Zulkifli dilihat berada dalam satu kenduri bersama pegawainya selepas program menyampaikan bantuan kepada Orang Asli di pedalaman Terengganu.
Laporan itu turut mendakwa semua kegiatan yang dipaparkan di akaun Facebook menteri itu menunjukkan pelanggaran PKP.
Terdahulu Malaysia melaksanakan PKP sejak 18 Mac lalu yang kemudian dilonggarkan secara bersyarat sehingga 9 Jun 2020.
Must-Watch Video