Polis menahan tiga individu susulan tular dua lagi video promosi judi dalam talian yang berdurasi 48 saat dan 30 saat semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, dua laporan polis dibuat susulan video terbabit sebelum tiga suspek yang terbabit dalam pembikinan video ini ditahan.

Menurutnya, mereka terdiri daripada dua perempuan dan seorang lelaki yang berusia 21 hingga 42 ditahan di sekitar ibu negara, dan akan direman hari ini bagi membantu siasatan.

Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak berkongsi video terbabit.

"Perbuatan sedemikian bukan sahaja salah di sisi undang-undang tetapi boleh mendatangkan keresahan dan kegusaran awam," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihak polis tidak akan berkompromi ke atas semua pihak yang terbabit dalam aktiviti perjudian dan pembikinan video itu.

"Tindakan tegas akan diambil berdasarkan undang-undang sedia ada.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 4 (1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya.

Terdahulu, media melaporkan tular video iklan lagu raya yang mempromosikan kegiatan judi tular di media sosial.

Video kedua tular selepas video pertama yang juga menggunakan modus operandi yang sama bagi menarik pelanggan dalam kalangan umat Islam.

Rakaman video lagu raya berkenaan memaparkan aksi lakonan serta nyanyian oleh seorang lelaki dan seorang wanita yang mempromosikan satu permainan judi.


Sumber: Harian Metro