Kerajaan akan membantu urusan membawa pulang jenazad dua pelajar Malaysia yang terkorban dalam nahas jalan raya di Lake Tekapo, New Zealand.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, bagaimanapun ia bergantung kepada keputusan pihak keluarga.

"Saya dimaklumkan semuanya telah pun diuruskan. Yang cedera telah berada di hospital, begitu juga yang meninggal dunia, jenazah mereka akan diuruskan,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Menurutnya, jenazah pelajar terbabit akan dibuat post mortem terlebih dahulu bagi mengelakkan timbul sebarang masalah pada masa akan datang.


Pelajar cedera diberi rawatan terbaik

Tambahnya, pelajar yang cedera pula sedang diberi rawatan terbaik di sebuah hospital di New Zealand.

"Saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia dan mereka yang cedera. Kemalangan berlaku kita tak dapat jangka.

"Saya tak tahu bagaimana kemalangan itu berlaku dan belum ada laporan khusus dilaporkan kepada pejabat saya. Tapi urusan mengurus dan membantu mereka terlibat akan diuruskan oleh pihak konsular sebaik mungkin," ujarnya.

Sebelum ini media melaporkan, lima pelajar Malaysia dilapor terbabit dalam kemalangan jalan raya yang berlaku pada jam 1.45 tengah hari waktu tempatan, pada Sabtu.

Kementerian Luar Negeri melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington, New Zealand dalam kenyataan berkata, dua daripada lima mangsa meninggal dunia.

"Dua mangsa dilaporkan terkorban di tempat kejadian manakala tiga lagi sudah diterbangkan ke Hospital Christchurch, South Islands, New Zealand untuk mendapatkan rawatan segera.

"Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington dengan bantuan komuniti Malaysia di Christchurch, sedang menghulurkan bantuan konsular sewajarnya kepada mangsa dan ahli keluarga bagi memastikan pengurusan kebajikan kesemua mangsa berjalan dengan lancar," katanya.

Sumber: SINAR HARIAN