Pelakon kacak Channing Tatum dikhabarkan telah mengikat tali pertunangan dengan bintang filem The Batman, Zoe Kravitz.

Berita itu dimaklumkan kepada media antarabangsa dari sumber terdekat pasangan itu.

Terdahulu, pasangan itu dilihat meninggalkan parti Halloween bersama, di mana Kravitz (mengenakan kostum Rosemary Woodhouse dari sebuah filem seram tahun 1968, Rosemary’s Baby) menunjukkan cincin pertunangannya.

Sebelum ini, temu bual bersama GQ’s 2022 Men of The Year, Kravitz memuji Tatum sebagai seorang yang hebat.

"Dia buat saya ketawa dan kami berdua sangat suka dengan seni serta sering berbual mengenainya.

"Kami suka menonton filem bersama, mengupas dan bercakap mengenainya serta mencabar satu sama lain," katanya.

Pasangan itu bertemu di set filem pertama arahan Kravitz, Pussy Island dan Tatum dikatakan sentiasa menjaga pelakon wanita itu sepanjang penggambaran.

“Tidak kira apa yang dilakukan, dia sentiasa melindungi saya dan saya rasa perkara itu sangat hebat dan romantik.

“Saya rasa kalau kami dapat melakukan segala perkara bersama, ia satu benda yang baik. Dan saya rasa kami akan sangai sesuai bersama,” tambah Kravitz.

Satu sumber memberitahu PEOPLE pada tahun lepas bahawa pasangan itu bercinta sejak musim panas 2021 dan mereka sangat gembira bersama.

“Karier mereka adalah fokus yang besar dan masing-masing berkongsi minat yang sama.

"Kehidupan peribadi mereka sangat sulit. Mereka suka keluar bersama dengan rakan-rakan secara rahsia tetapi lebih kerap duduk di rumah.

“Channing sangat serius tentang Zoe. Ia bukan sekadar bercinta secara kasual.

“Mereka telah bersama dalam jangka masa yang lama," ujar sumber itu.

Walaupun Channing tidak pernah mendedahkan tentang hubungan romantiknya bersama Kravitz, dia memberitahu Variety pada bulan Februari lalu bahawa aktres itu seorang yang mementingkan kesempurnaan dalam segala aspek.

Sumber: PEOPLE, Variety, GQ’s 2022 Men of The Year
Kredit foto: Carian Google
Teks oleh: Firdaus Tourisz