Ketika drama bersiri Suri Katriana yang ditayangkan di saluran Astro Prima pada Oktober 2019, ramai peminat Ernie Zakri tertanya-tanya mengenai lagu tema drama tersebut.

Dan akhirnya selepas dua tahun, lagu yang menjadi runut bunyi drama tersebut dilancarkap secara rasmi pada malam Jumaat.

Lagu hasil ciptaan Halen Yap dan lirik oleh Roslen Fadzil itu didatangkan dengan video lirik yang boleh ditonton di saluran Youtube Universal Music Malaysia.

Ernie berkata, dia berasa lega dan seronok kerana akhirnya lagu tersebut dapat diperdengarkan kepada umum terutama para peminat.

“Lagu ini adalah projek yang agak lama juga. Apabila dengar ia dapat dilancarkan secara rasmi kepada peminat, saya gembira sebab mereka menantikan lagu ini menjadi single saya juga.

“Apa boleh dikatakan, ini masa terbaik lagu ini dilancarkan. Harapan saya bukan saja ia diterima baik, tapi menjadi bualan, siulan dan dendangan pendengar yang sentiasa menantikan lagu saya,” katanya.

Bagaimanapun kata Ernie muzik video lagu tersebut masih belum dirancang tetapi akan tetap dihasilkan.

“Buat masa sekarang lagu ini hadir dengan video lirik dahulu. Video muzik belum ada perancangan nak buat bila.

“Ditambah pula sekarang masih tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Tapi saya percaya akan dapat buat juga nanti. Insya Allah, akan datang,” katanya.

Berkongsi mengenai perjalanan dan proses menghasilkan Sinar Mata Hati, Ernie berkata, lagu itu mencabar dari segi penghayatan dan emosi.

Malah, Ernie yang pertama kali bekerjasama dengan Halen dan Roslen mengakui bertuah kerana dapat menyanyikan lagu ciptaan mereka.


“Bagi proses menghasilkan lagu ‘Sinar Mata Hati’ boleh diberikan kredit kepada komposer dan penulis lirik.

“Dalam masa sama, perjalanan rakaman lagu pula amat mudah sebab mendapat kerjasama baik daripada mereka.

“Saya pernah berkerjasama dengan Halen Yap, tapi bukan dalam studio. Selalu kalau dia menjadi pengarah muzik untuk program. Dengan Abang Slen pula ini kerjasama pertama kami.

“Proses rakaman lagu juga cukup mudah apatah lagi ketika itu saya juga sibuk menjalani penggambaran drama Suri Katriana dan dalam masa sama kena merakamkan lagu ini.

“Apa boleh dikatakan, ia pengalaman sangat berharga. Lagu ini agak mencabar. Walaupun tidak bernada tinggi atau memerlukan teknik vokal yang susah, tapi lebih kepada emosi yang agak berat. Bagi saya itu satu cabaran juga,” katanya.

Sinar Mata Hati kini sudah tersedia di semua pelantar digital seperti Spotify, Apple Music, JOOX, KKBOX, Deezer dan YouTube Music dan lirik video akan ditayangkan pada jam 9 malam di YouTube Channel Universal Music Malaysia