Sekilas
- Penyanyi legenda Indonesia, Hetty Koes Endang, memberi respons terhadap imej AI dirinya tanpa tudung awning yang dikongsi di Threads.
- Hetty menjelaskan gaya tudungnya berubah mengikut situasi, seperti ketika di rumah atau memandu, dia selesa tanpa awning.
- Namun, tudung awning tetap menjadi identiti pentasnya sejak 1996 dan tidak akan diubah.
Penyanyi legenda Indonesia, Hetty Koes Endang mencuri perhatian warganet selepas memberikan respons terhadap satu hantaran di Threads yang memaparkan imej dirinya tanpa memakai tudung awning.
Hantaran yang dikongsikan seorang pengguna Threads itu memaparkan imej Hetty yang dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI) dengan mengenakan tudung tanpa awning.
Menerusi hantaran tersebut, individu berkenaan bertanyakan kepada warganet sama ada Hetty kelihatan lebih cantik dan manis sekiranya tidak memakai tudung awning.
"Kalau Bunda Hetty tak pakai awning, cantik, manis kan?" tulisnya.
Bagaimanapun, Hetty sendiri tampil memberikan respons terhadap hantaran tersebut dan menjelaskan bahawa pemakaian tudungnya berbeza mengikut situasi.
Menurut Hetty, ketika menghadiri majlis pengajian, bermain di rumah cucu atau memandu sendiri, dia sememangnya selesa mengenakan tudung seperti yang dipaparkan dalam imej berkenaan.
Namun, penyanyi berusia 68 tahun itu menjelaskan gaya tudung awning yang sering dilihat ketika membuat persembahan di atas pentas sudah menjadi identiti dirinya sejak 1996.
"Kalau Bunda pergi pengajian, bermain di rumah cucu atau memandu sendiri, Bunda selalu memakai tudung begini.
"Kalau di pentas, itu sudah menjadi tanda dagangan Bunda sejak tahun 1996 dan tidak boleh diubah. Maaf ya," jelasnya.