Berita
“Duduk Rumah Sambil Jaga Anak Pun Boleh…”- Terima Mesej Minta Bantuan, Ini Nasihat Betty Rahmad
Pelakon Betty Rahmad mendedahkan bahawa dirinya menerima mesej dalam kalangan netizen yang meminta bantuan daripadanya hampir setiap hari.
Begitupun, kata Betty dia tidak mampu untuk memenuhi setiap permintaan pertolongan dari segi kewangan yang sering diajukan kepadanya.
"Izinkan saya kongsi dan jawab DM (mesej peribadi) yang saya terima hampir setiap hari di sini. Sejujurnya saya sedih dan kalau boleh nak tolong semua terutama majoriti kaum wanita yang DM saya minta bantuan.
"Kalaulah saya mampu untuk hulurkan bantuan setiap hari pada kalian, tapi saya juga sama macam yang orang lain kerja untuk mencari rezeki," katanya menerusi satu entri di Instagram.
Dalam hantaran tersebut, Betty turut berkongsi beberapa paparan mesej yang diterimanya daripada orang ramai.
Begitupun, kata Betty dia terpanggil untuk memberikan bantuan alternatif kepada mereka yang memerlukan dengan menyertai perniagaannya tanpa mengenakan sebarang modal.
"Apa yang saya mampu saya sanggup berkongsi rezeki dengan anda dengan bisnes yang saya ada.
"Saya buka peluang untuk anda join @bettys_kitchen sebagai ejen, ejen mini atau dropship tanpa modal bagi mengurangkan beban hidup anda," katanya.
Menurutnya, buat masa sekarang itu sahaja yang boleh diusahakan untuk membantu mana-mana pihak yang memerlukan bantuan kewangan.
"Nak beli susu anak, makan. Saya pasti dan sudah pun terbukti mampu menolong sedikit sebanyak kos sara hidup anda dan keluarga.
"Duduk rumah sambil jaga anak pun boleh cari duit. Kalau anda ada telefon bimbit dan boleh layari Instagram, pasti banyak peluang pekerjaan anda boleh buat hanya guna telefon bimbit.
"Maaf sekiranya posting saya mengguris hati sesetengah pihak. Hakikatnya orang takkan mampu tolong kita, kalau kita tak tolong diri kita sendiri," luahnya.
Di ruangan komen, rata-rata memuji tindakan Betty yang disifatkan cukup bernas dengan memberikan peluang pekerjaan kepada mereka yang memerlukan.
"Betul. Saya setuju kalau kita bagi bantuan, sekali guna sahaja dah habis. Kalau bagi peluag jual sambal, InsyaAllah akan dapat hasilnya setiap bulan.
"Semoga Betty dimurahkan rezeki selalu," komen sebahagian pengikutnya.
Must-Watch Video