Sekilas
- Komuniti peminat Amira Othman, Official Team Amira (OTA), menyeru semua peminat supaya menjaga adab dan mengelakkan provokasi serta spekulasi ketika memberikan sokongan.
- OTA menegaskan pentingnya menghormati perbezaan pendapat dengan penuh kematangan dan mengelakkan serangan peribadi atau tuduhan tidak berasas.
- Peminat diingatkan untuk menyemak kesahihan maklumat sebelum berkongsi dan lebihkan sokongan positif daripada terlibat dalam kontroversi yang tidak berfaedah.
Komuniti peminat penyanyi dan pelakon Amira Othman, Official Team Amira (OTA) menyeru semua peminat menjaga adab serta mengelakkan provokasi dan spekulasi ketika memberikan sokongan kepada artis kesayangan mereka.
Menerusi kenyataan yang dikongsikan di Threads, pihak pentadbir OTA mengingatkan bahawa perbezaan pendapat tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menyerang atau memperlekehkan pihak lain.

“Kami memahami bahawa setiap individu mempunyai pandangan dan pendapat tersendiri. Perbezaan pendapat adalah perkara biasa, namun biarlah ia disampaikan dengan penuh rasa hormat dan kematangan.
“Elakkan daripada menjadikan perbezaan tersebut sebagai ruang untuk menyerang, menjatuhkan atau memperlekehkan mana-mana pihak,” menurut kenyataan tersebut.
Dalam pesanan sama, OTA menggariskan lima perkara untuk diberi perhatian, iaitu menjaga tutur kata, tidak mengeruhkan keadaan, menghormati perbezaan pendapat, tidak menyebarkan salah faham dan mengutamakan perkara positif.
Peminat turut diminta mengelakkan penghinaan, serangan peribadi serta tuduhan tidak berasas, selain tidak membesarkan isu atau menambah spekulasi.
“Semak kesahihan sesuatu perkara sebelum berkongsi dan elakkan perkongsian berunsur tuduhan atau spekulasi yang tidak mempunyai asas munasabah.
“Lebihkan sokongan, penghargaan dan doa daripada terlibat dalam kontroversi yang tidak membawa manfaat,” jelasnya.
Menurut OTA, setiap tutur kata dan tindakan peminat mencerminkan nilai serta kematangan diri, sekali gus perlu dilakukan dengan penuh tanggungjawab.
“Sokongan bukan sekadar tentang mempertahankan, tetapi juga tentang bagaimana kita menjaga nama baik, menghormati orang lain dan menyebarkan kebaikan.
“Semoga kita terus bersatu dalam memberikan sokongan dengan penuh kematangan, rasa hormat dan adab,” katanya.
Bagaimanapun, pihak pentadbir menegaskan kenyataan itu dikeluarkan atas kapasiti sebagai komuniti peminat bagi tujuan peringatan dan kesedaran umum.
Pesanan tersebut juga tidak ditujukan kepada mana-mana individu atau kumpulan tertentu serta tidak bertujuan membuat tuduhan atau penghakiman terhadap sesiapa.
OTA turut menjelaskan bahawa pihaknya menghormati hak setiap individu untuk menyuarakan pandangan, pendapat dan kritikan secara bebas serta bertanggungjawab, dengan pesanan itu bertujuan menggalakkan komunikasi secara berhemah.
Sumber: Threads