Laman Utama
“Duit Dalam Bank Tinggal RM10… Pernah Terfikir Nak Jual Aiskrim” - Nadeera
Penyanyi Nadeera mendedahkan yang perjalanan kariernya sebagai penyanyi tidaklah sesempurna seperti yang disangka banyak orang.
Nadeera yang juga juara Big Stage 5 berkata, dia pernah melalui fasa sukar sehingga wang dalam akaun bank miliknya susut mendadak.
“Bidang nyanyian ni bukanlah satu hal yang mudah. Nak cipta nama tak senang, tambahan pula, saya ini seorang artist independent. Dari segi kewangan, memang sedikit susah.
“Saya pernah alami fasa struggle dan sukar ketika mula-mula bergerak sendiri, selepas tidak lagi mengikuti mentor saya. Ketika itu memang susah. Saya tiada pekerjaan, tiada pendapatan.
“Paling sedih, saya sampai terfikir untuk jual aiskrim. Duit dalam bank pun tinggal RM10. Namun saya bersyukur sebab keluarga saya banyak membantu, terutama kakak yang memahami adiknya yang baru nak menapak dalam bidang nyanyian,” tutur Nadeera kepada Gempak.
Nadeera berkata demikian ketika ditemui pada majlis sambutan ulang tahun ChezKamya baru-baru ini.
Nasib Nadeera mula berubah apabila dia diberi peluang untuk menyanyi di hotel-hotel di ibu kota.
“Alhamdulillah rezeki saya sentiasa ada dan Allah mudahkan semuanya. Saya kemudian dilamar satu agensi ini yang membuka peluang kepada saya untuk menyanyi di hotel. Dari situ, saya dapat pendapatan yang stabil,” katanya.
Melanjutkan bicara, Nadeera yang baru sahaja muncul dengan single berjudul Emas kini sibuk merancang untuk perkembangan kariernya pada masa akan datang.
“Buat masa ini, saya sedang mempromosikan single Emas. Memang genre sebegini dekat dengan jiwa saya. Tapi pada masa akan datang, saya dan pengurusan akan mengaturkan juga single-single yang berentak berbeza, mungkin sedikit rancak dan berjalur pop,” katanya menutup bicara.
Must-Watch Video