Label hiburan terkemuka tanah air, Rocketfuel Entertainment menghadiahkan lagu baharu khas buat juara Big Stage 5, Nadeera Zaini sebagai penghargaan terhadap kemenangannya

Menurut Naib Presiden Perniagaan Saluran Melayu Astro, Azlin Reza Azmi, pihak Astro amat berbangga dengan kejayaan yang diraih oleh Nadeera.

“Sepanjang sepuluh minggu berentap, ramai telah menyaksikan kesungguhan serta kemampuan penyanyi ini yang sememangnya layak bergelar juara.

“Ternyata Big Stage merupakan tempat lahirnya bintang-bintang industri muzik baharu yang berkemampuan untuk mencapai kejayaan pada tahap internasional.

“Oleh itu, pihak Rocketfuel berbesar hati menghadiahkan sebuah lagu ciptaan komposer tersohor dari Korea Selatan, Hyuk Shin yang merupakan pencipta lagu ‘One Less Lonely Girl’ nyanyian penyanyi antarabangsa terkemuka, Justin Bieber.

“Kami berharap Nadeera mampu mengorak langkah dengan lebih jauh lagi dengan lagu yang bakal dirakamkan nanti,” ujarnya.

Rocketfuel Entertainment Sdn Bhd sememangnya menghargai bakat-bakat baharu yang lahir dari pertandingan realiti terutamanya terbitan Astro, dan sebagai tanda sokongannya terhadap industri muzik Malaysia.

Pendekatan sebegini selalunya diambil agar artis tersebut dapat berkembang lebih maju pada masa hadapan.

Menurut Ketua Rocketfuel Entertainment, En. Prem Anand, Rocketfuel sememangnya memberikan sokongan dan galakan seratus peratus pelapis baharu industri hiburan Malaysia.

“Pendekatan ini dilakukan agar mereka dapat melebarkan sayap dan pergi lebih jauh lagi dalam kerjaya masing-masing.

“Secara tidak langsung menjadikan program Big Stage sebagai platform untuk mencungkil bakat-bakat baharu dan agar program ini lebih maju ke hadapan dengan konten-konten yang bermutu dan berkualiti,” jelasnya.

BACA: Pernah Juara Pertandingan Keroncong, Kenali Si Genit Juara Big Stage 5 Nadeera Zaini!

BACA: #BIGSTAGE5: Nadeera Zaini Dinobat Juara, Kaut RM100,000!

Terdahulu, dengan markah keseluruhan sebanyak 68.39%, Nadeera yang mempersembahkan lagu Never Enough menumpaskan lima calon juara lain dengan bergaya.

Kemenangan terbabit melayakkan Nadeera membawa pulang wang tunai RM100,000, trofi dan lagu baharu dari komposer antarabangsa, Hyuk Shin.

Selain lagu Never Enough, Nadeera turut beraksi cemerlang menerusi lagu Gundah dalam pusingan battle mash up bersama Waode.