“Dunia Seni Kehilangan Sebutir Bintang” - PM Zahir Ucapan Takziah Pemergian Arwah Mamat Khalid!
Berita duka mengenai pemergiaan pengarah tersohor Mamat Khalid awal pagi hari ini pastinya memberi impak besar terhadap setiap masyarakat di Malaysia.
Bukan hanya rakan artis mahupun peminatnya, malah Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga turut menzahirkan rasa sedihnya terhadap kehilangan sutradara berkenaan.
Menerusi satu ciapan di Twitter rasminya, Ismail menyifatkan pemergian arwah bagaikan satu kehilangan besar buat dunia seni.
“Dunia seni hari ini kehilangan sebutir bintang dengan pemergian Allahyarham Mohamad bin Mohd Khalid atau dikenali sebagai Mamat Khalid yang meninggal dunia sekitar jam 12.30 pagi tadi.
“Takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham dan para penggiat seni tanahair di atas kehilangan ini.
“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan bersama mereka yang beriman dan beramal soleh,” katanya.
إِنَّا لِلَّٰهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ Alfatihah
Selain Ismail, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa turut menitipkan doa buat Allahyarham.
“Salam takziah kepada keluarga Allahyarham Mamat Khalid, penerbit, pengarah dan pelakon.
“Negara kehilangan bakat yang tidak mungkin ada pengganti. Semoga rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Al-Fatihah,” katanya.
Sekadar info, Allahyarham yang terkenal dengan karya seperti Zombi Kampung Pisang dan Hantu Kak Limah, telah rebah di kafenya di Sarang Art Hub, Tanjung Malim.
Allahyarham kemudian dibawa ke Hospital Slim River dan disahkan meninggal dunia pada usia 58 tahun.
Jenazah Allahyarham akan disembahyang dan dijangka dikebumikan di Masjid Kampung Paloh, Ipoh, Perak sekitar selepas Zohor.
Keluarga Allahyarham juga meminta jasa baik agar pihak yang datang menziarah tidak merakam video dan gambar demi menjaga privasi dan sensitiviti mereka yang sedang berduka.
BACA: Rakan Artis Kenang Jasa, Jenazah Mamat Khalid Dikebumikan Di Ipoh, Perak