Laman Utama
Ebit Lew Beli Dua Lori Air Bantu Penduduk Selangor - “Terbaik! Ustaz Buat Lebih Daripada Wakil Rakyat”
Pendakwah bebas terkenal Ustaz Ebit Lew mengambil langkah membeli dua lori air bersaiz besar untuk membantu penduduk di Selangor yang mengalami gangguan bekalan air.
Menerusi laman sosial Facebook, Ebit berkongsi beberapa keping foto agihan bekalan air tersebut kepada penduduk di kawasan pinggiran Batu Cave, Gombak sejak malam tadi.
“Sayu hati rasa. Selangor tiada air. Saya beli 2 lori besar air untuk diagihkan. Dari 10 malam kami keluar rumah uruskan sampai subuh dan sekarang masih belum selesai mengagihkan air di area pinggiran Batu Caves.
“Bila saya tengok rumah saya tiada air. Saya cepat-cepat belikan air mineral untuk anak-anak. Saya fikir macam manalah orang diluar sana. Ya Allah. Sekali tengok orang beratur. Paling sayu pakcik makcik tua-tua nak air. Ada yang saya minta pembantu saya bantu angkatkan.
“Ada adik kecil-kecil sangat datang ambil air. Untuk masak dan minum agaknya. Ya Allah. Bantulah semua negeri-negeri yang ada masalah air permudahkanlah ya Allah. Bukalah jalan buat kami semua,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Malah, Ebit memohon orang ramai turut sama-sama berdoa untuk semua masalah gangguan air ini dipermudahkan.
Di ruangan komen, ramai wargamaya yang memuji dan memberikan ucapan penghargaan kepada usaha Ebit dan pasukannya di atas bantuan yang dihulurkan.
“Tanpa cakap banyak. Terus bagi bantuan. Nah hantar treler air terus. Semoga ustaz dimurahkan rezeki,” kata seorang wargamaya.
“Terbaik ustaz. Awak buat lebih daripada wakil rakyat. Thumbs up and salute to you,” puji seorang wargamaya.
“Kita perlukan orang yang macam ni dalam organisasi pemerintahan Malaysia. Dahulukan kepentingan rakyat,” komen seorang wargamaya.
“Di kala ahli politik sibuk berpolitik, Ebit Lew pula sibuk keluar membantu, ini menunjukkan kalau pun hendak menolong masyarakat/rakyat tak perlu berjawatan tinggi,” tulis seorang wargamaya lagi.
Terdahulu, satu lagi insiden pencemaran sumber air mentah dikesan di Sungai Selangor semalam.
Susulan itu, arahan henti tugas telah dikeluarkan untuk Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, dan Fasa 3 serta Rantau Panjang.
Henti tugas keempat-empat loji itu telah menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan 1,196,457 akaun merangkumi 1,292 kawasan di Selangor.
Must-Watch Video