Laman Utama
Ebit Lew Lawat Pusara & Keluarga Arwah Zulfarhan Osman, Beri Hadiah Pakej Umrah - “Dia Bercita-Cita Bawa Keluarga Pergi Mekah”
Pendakwah bebas ustaz Ebit Lew kembali aktif membantu orang yang memerlukan sebaik sahaja pulang daripada mengerjakan umrah dan beliau terpanggil untuk menziarahi ibu bapa serta pusara Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain, penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)
Menerusi laman sosial Facebook, Ebit berkongsi momen-momen sewaktu kunjungannya ke rumah Zulkarnain Idros dan isteri Hawa Osman untuk tatapan umum.
Tambah sayu apabila kunjungannya pada hari ini jatuh pada tarikh hari lahir Allahyarham Zulfarhan.
Advertisement
Difahamkan, Ebit dulu bersekolah Sekolah Menengah Teknik Johor Bahru, sama dengan Allahyarham Zulfarhan sebelum arwah melanjutkan pengajian di UPNM.
“Sebak sayu rasa ziarah mak ayah Arwah Zulfarhan UPNM. Selepas Subuh tadi saya terus ke Skudai Johor. Hari ini hari lahir arwah. 29 Nov.
“Berat ujian mereka kehilangan anak tersayang. Arwah Zulfarhan rupanya sekolah menengah teknik johor bahru. Sekolah saya dulu. Maknanya junior saya dulu. Beliau anak yang baik. Anak sulung bercita-cita nak bawa keluarga pergi haji umrah.
“Kata maknya tempat duduk ustaz tu tempat arwah berehat selalu. Sepanjang berbual dalam senyuman kedua ibubapanya asyik mengalir air mata. Sempat ziarah sekolah tempat maknya bekerja berjumpa guru dan rakan pejabatnya. Ayahnya bekerja bawa teksi. Baik sangat kedua mak ayahnya. Lemah lembut orangnya,” tulis Ebit.
Lebih istimewa apabila Ebit turut memberikan pakej mengerjakan umrah buat Zulkarnain dan Hawa sebagai hadiah di hari lahir Zulfarhan kerana memang niat arwah untuk menghantar kedua orang tuanya ke Mekah.
“Saya niat hadiahkan tiket dan pakej umrah buat mak ayahnya disember ini. Syukur mereka gembira menerimanya. Segala puji bagi Allah. Menangis gembira terutama hari lahir arwah Farhan. Terasa macam anaknya sentiasa ada dekat.
“Mereka teringin sangat nak pergi haji atau umrah. Katanya syukur Allah jemput kami melalui ustaz. Sempat ziarah kubur arwah tadi. Semoga Allah mudahkan segala urusan keluarga ini,” ujar beliau lagi.
Sementara itu di ruangan komen, kunjungan tersebut mengundang rasa sebak wargamaya yang rata-ratanya meratap nasib yang menimpa Allahyarham Zulfarhan sekeluarga.
“Alhamdulillah terima kasih ustaz gembira kan ibu ayah Zulfarhan,” komen seorang wargamaya.
“Alhamdulillah, kiriman dari Allah melalui ustaz Ebit, moga segala urusan ke tanah suci keluarga arwah dipermudahkan oleh Allah .aamiin,” doa seorang wargamaya.
“Kisah arwah buat saya sedih sampai hari ni walau tak kenal,” luah seorang wargamaya.
“Alhamdulillah terima kasih UEL memudahkan urusan ibubapa Allahyarham semoga Allah Ta'ala membalas kebaikan dengan pahala yang setimpal, Aamiin,” ujar seorang wargamaya lagi.
Sekadar info, Allahyarham Zulfarhan Osman meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.
Menurut laporan autopsi, 80 peratus daripada tubuh Zulfarhan dipenuhi dengan kesan terbakar akibat ditekap menggunakan seterika wap.
Enam yang tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di dalam dua bilik, blok penginapan asrama Jebat universiti itu di Kem Perdana, Sungai Besi pada 21 dan 22 Mei 2017.
Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd. Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd. Ali selepas didapati bersalah menyebabkan kematian Allahyarham Zulfarhan.
Must-Watch Video