Penyanyi Naim Daniel diminta untuk berehat daripada terlibat dalam sebarang aktiviti seni berikutan mengalami kemalangan jalan raya pada Khamis.

Menurut Pengarah Urusan Worldpeace Entertainment, Usaid Hamdi, dia mengesahkan Naim atau nama sebenarnya Muhammad Naim Daniel Baharin mengalami kecederaan ringan di bahagian rahang muka.

“Beberapa hari selepas kejadian, dia masih okey. Tetapi kelmarin dia mengadu sakit dan mahu datang ke pelancaran lagu Lara pada hari ini.

“Tetapi kerana terlampau sakit, doktor meminta dia untuk berehat dahulu dan mendapatkan rawatan sementara menunggu keputusan pemeriksaan rahang tersebut,” katanya kepada Gempak.

Usaid diminta mengulas ketiadaan Naim dalam Majlis Pelancaran lagu Lara yang menyaksikan trionya bersama Hael Husaini dan Haqiem Rusli di The Chow Kit Ormond Hotel, Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Sementara itu, Usaid berterima kasih kepada semua peminat dan rakan-rakan industri yang tidak putus-putus mendoakan kesihatan Naim.

“Kemungkinan keputusan perubatan itu akan diperolehi pada hari ini atau esok.

“Terima kasih buat semua yang mendoakan agar Naim dapat kembali dengan lebih kuat,” katanya lagi.

Pada Khamis lalu, Naim mengalami kemalangan jalan raya di Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) kira-kira pukul 12 tengah hari.

Kereta jenis pacuan empat roda Ford Ranger yang dipandunya terbabas dan melanggar pembahagi jalan ketika dalam perjalanan ke Sri Pentas bagi rakaman sebuah program hiburan.