Eh Lovenya! Siti Nurhaliza 'Ambil Takhta’ Di New York Times Square!
Penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza melakar sejarah tersendiri apabila muncul di papan iklan digital tersohor New York Times Square, Amerika Syarikat.
Berita gembira itu diumumkan Siti menerusi posting di Instagramnya sebentar tadi.
Menurut Siti, dia bersyukur kerana diberi penghormatan apabila wajah saya dipaparkan di papan iklan digital tersohor New York Times Square, Amerika Syarikat.
“Penampilan saya mewakili negara Malaysia pada papan iklan ini adalah sebahagian daripada kempen EQUAL oleh wadah penstriman digital tersohor dunia, Spotify.
“EQUAL adalah sebuah program peringkat global oleh Spotify yang ingin memupuk kesamaan wanita dengan memaparkan artis-artis wanita dari seluruh dunia,” katanya.
Jelas penyanyi nombor satu negara itu, terdapat 35 senarai lagu atau playlist EQUAL yang meliputi artis dari 50 negara.
“Saya merupakan salah seorang wakil bagi senarai lagu EQUAL Malaysia dan Singapura,” katanya.
Sementara itu Siti menerusi kenyataan rasmi berkata, dia berharap akan terus memenuhi harapan peminat dengan menghasilkan lebih banyak karya hebat.
“Saya juga berharap ini akan memberi inspirasi kepada ramai anak gadis di luar sana untuk terus berusaha dan jangan berhenti mengejar impian.
“Siapalah sangka seorang gadis dari sebuah pekan kecil seperti saya satu hari nanti dapat mengecap pelbagai kejayaan di peringkat tempatan dan antarabangsa.
“Jika anda berusaha tiada yang mustahil,” katanya.
Siti juga menjadi warga Malaysia kelima untuk menghiasi papan iklan digital di Times Square selepas Yuna, Layla Sania, kumpulan DOLLA dan Iman Troye.