Berita
“Elakkan Salah Faham, Melaga- Lagakan...”- Siti Nurhaliza Tak Mahu Cemari Ramadan Dengan...
Penyanyi tersohor negara Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin akui kesal apabila ada pihak menerusi blog serta twitter yang dilihat cuba melaga-lagakannya dengan seseorang.
Menurut Siti Nurhaliza sempena bulan Ramadan ini diharap ia tidak dicemari dengan fitnah dan keburukkan.
“Pada bulan penuh keberkatan ini, bulan Ramadan, di saat kita berlumba-lumba mahu berbuat kebaikan, memperbanyakkan amalan-amalan murni, meningkatkan ibadah, janganlah dicemari dengan fitnah atau apa tujuan yang akan membawa keburukan, disalahtanggap atau buruk sangka meskipun dalam bentuk gurauan.
“Ramai peminat dan followers yang DM (mesej peribadi) saya memberikan tajuk-tajuk penulisan di blog atau twitter yang saya sendiri tidak faham apa tujuan mereka meletakkan nama saya.
“Saya tidak mahu mencemari Ramadan ini dan saya juga berharap tangan yang menulis atau menaip, akal yang Allah berikan, digunakan pada tempat dan cara yang betul.
“Elakkan salah faham, salah tanggapan, melaga-lagakan, kadang-kadang dengan tajuk, macam-macam pembaca boleh tafsirkan. Subhanallah, elakkanlah perkara-perkara begini kerana kita kini dalam bulan Ramadan, carilah kebaikan-kebaikan yang bertebaran.
“Moga Allah mengampuni kita semua,” tulisnya.
Siti berkongsi perkara tersebut di akaun Instagram miliknya.
Entri tersebut mendapat perhatian pengikutnya yang rata-rata bersetuju dengan kenyataannya.
Malah ada juga cuba mengaitkan kenyataan Siti dengan isu penulisan yang membandingkan cara pemberian bantuan penyanyi tersebut dengan pendakwah terkenal Ebit Lew.
Bagaimanapun ramai pengikutnya meminta supaya Siti bersabar dengan dugaan tersebut.
Siti baru sahaja melancarkan single terbaharunya berjudul Basyirah.
Must-Watch Video