Penyanyi Elfee terus optimis memaju karier seni menerusi single terbaharunya berjudul ‘Tak Jelas Tanpa Sebab’ ciptaan komposer Indonesia, Aris Tea.

Kata Elfiee, single itu sebagai percubaan menembusi pasaran negara seberang.

“Single bertajuk Tak Jelas Tanpa Sebab dicipta oleh komposer Indonesia, Aris Tea. Ia juga diterbitkan di Indonesia dan telah dipasarkan di seluruh Indonesia dan platform digital.

"Ia berkisarkan mengenai realiti kehidupan untuk mereka yang menghadapi dugaan dalam hidup, terutama percintaan, tidak kiralah lelaki dan perempuan.

"Sebelum ini, saya pernah muncul dengan album berjudul JiwaElfee pada 2015. Selain menyanyi, saya juga membahagikan masa mengendalikan perniagaan namun saya akui nyanyian merupakan minat saya," kata Elfee.

A post shared by Elfee Official (@elfee_hefny)


Pernah muncul dengan single duet berjudul Cinta Sejati bersama penyanyi Indonesia, Erdysta, peluang Elfee untuk memasarkan single itu di Indonesia terbantut dek kerana penularan wabak Covid-19.

“Tiga tahun lalu, sebelum pandemik melanda dunia, saya ada berduet dengan penyanyi Indonesia, Erdysta menerusi sebuah single berjudul Cinta Sejati. Kami sempat mempromosikan lagu terbabit di Indonesia selama dua bulan sebelum Covid-19 melanda dunia.

“Semua perancangan promosi terbantut namun saya yakin ada hikmahnya. Kini, saya muncul dengan Tak Jelas Tanpa Sebab dan berharap ia mendapat sambutan yang memberangsangkan,” katanya lagi.

Terdahulu, Elfee menyambut hari ulang tahun kelahirannya serta mengadakan sesi ‘meet and greet’ bersempena pelancaran lagu Tak Jelas Tanpa Sebab.

Dalam majlis yang diadakan serba meriah di The Pickers Lounge, Cyberjaya baru-baru ini, ia dihadiri oleh keluarga, rakan artis , pempengaruh TikTok dan kenalan rapat Elfee.

Antara selebriti yang hadir menghangatkan acara ialah Mac Ruhayu, Zur Eda, Adilla Idris, Hasnol, Razif Zin, Achik Eddy, Baby Linda dan majlis diacarakan dengan meriah oleh K. Nur.