Laman Utama
Emoji Hati Hakim Khan Buat Ramai Cair!
Meskipun pernah dua kali gagal untuk menyertai pertandingan realiti nyanyian, Hakim Khan tidak patah semangat untuk terus merealisasikan impian sebagai penyanyi.
Halim Khan atau atau nama sebenarnya Muhammad Al Hakim Khan Farrukh Hadi memanjatkan kesyukuran apabila bakat nyanyian mendapat perhatian syarikat rakaman 17 Eleven Music.
Penyanyi berdarah kacukan India di sebelah bapa dan Melayu di sebelah ibu ini merakamkan single pertama di bawah 17 Eleven Music berjudul Emoji Hati.
Single tersebut juga sudah dilancarkan secara rasmi sejak bulan lalu.
“Sejak 2013 lagi saya mencuba untuk menempatkan diri dalam bidang ini. Saya pernah menyertai uji bakat program Idola Kecil tapi tidak terpilih. Seterusnya, pada 2014 saya cuba nak masuk program Ceria Pop Star pula, pun gagal. Namun, ia tidak mematahkan semangat saya untuk terus mencuba.
“Akhirnya, pada 2016 saya ditawarkan untuk merakamkan single oleh seorang komposer yang juga kawan mak saya iaitu Aidil AF3.
“Dari situ, bermula perjalanan saya sebagai penyanyi. Mungkin sepanjang lima tahun ini orang masih tidak mengenali saya, tapi tidak mengapa kerana ini semua adalah proses untuk saya. Malah, sedikit pun tidak membuatkan saya putus asa. Saya masuk dalam bidang ini sebab nak tunjuk muzik yang saya cuba bawakan,” katanya.
Emoji Hati merupakan single ketiga dan Hakim Khan yakin dan optimis tuah akan berpihak pada dirinya asal sahaja niat serta perjuangan asal melangkah ke dalam industri tidak tersasar.
Walaupun dua single sebelum ini, Kau Mampu (2016) dan Terus Cuba feat Mimi Fly (2018) kurang mendapat tempat di kalangan pendengar, namun ia menjadi pengalaman berharga buat diri Hakim Khan untuk terus mencuba tanpa mengenal erti putus asa.
Jika single pertama bergenre pop dan kedua pula balada, bagi single Emoji Hati ini Hakim Khan memilih untuk menggabungkan kedua genre itu.
“Kecenderungan saya lebih kepada muzik rancak atau pop. Dalam masa sama suka mengenai sesuatu yang jiwang atau cinta. Jadi, untuk projek ini saya terfikir kenapa tidak gabungkan keduanya yang mana menerusi Emoji Hati ini melodi adalah pop dan lirik pula lebih kepada balada.
“Alhamdulillah, walaupun lagu ini masih belum dikenali secara meluas, saya bersyukur dengan sambutan diberikan di platform digital dan YouTube.
"Saya faham, dalam keadaan pandemik Covid-19 ini ia sedikit sebanyak menyukarkan aktiviti promosi di radio dan TV. Tapi, saya percaya dengan strategi dan perancangan yang diatur pihak 17 Eleven Music.
“Dalam masa sama, saya juga tetap giat mempromosikan lagu Emoji Hati ini di laman sosial peribadi. Pada tahap ini, saya tetap bersyukur dan menyifatkan ia sesuatu yang baik,” katanya.
Must-Watch Video