Laman Utama
Ernie Zakri Hilang Suara Pada Hari Konsert Satu Suara Vol.3: “Saya Tidak Ada Plan B”
Penyanyi Ernie Zakri mendedahkan dirinya mengalami masalah kehilangan suara pada hari dia terbabit dengan projek mega Konsert Satu Suara Vol:3 yang dijayakan bersama Datuk Seri Siti Nurhaliza dan penyanyi legenda Jay Jay, semalam.
Kata Ernie, sebaik menyedari mengalami masalah kehilangan suara pada pagi sebelum konsert yang berlangsung di Mega Star Arena, Sungei Wang, Kuala Lumpur pada sebelah malam, dirinya sedar dia perlu melakukan sesuatu untuk menyelamatkan keadaan.
Mahu tidak mahu, pelantun Gundah itu mendapatkan suntikan antibiotik daripada doktor untuk membantunya pulih seperti sedia kala.
“Saya kehilangan suara pada pagi sebelum konsert berlangsung. Hal itu juga menyebabkan saya tidak datang ke sesi latihan kerana percaya jika paksa diri, saya mesti tidak boleh membuat persembahan pada malam hari.
“Jadi saya bertemu doktor dan diberikan suntikan antibiotik untuk memastikan saya sihat dan boleh bekerja pada malam ini,” ujar Ernie saat ditemui media pada sidang akhbar Konsert Satu Suara Vol:3 Datuk Seri Nurhaliza Bersama Jay Jay dan Ernie Zakri di Hotel Park Royal, tengah malam tadi.
Isteri penyanyi Syamel itu juga mengaku dia tidak mempunyai plan B atau alternatif lain untuk memastikan dirinya boleh beraksi pada konsert amal yang dianjurkan Yayasan Nurjiwa dan Siti Nurhaliza Production tersebut.
“Tak, tak ada plan B. Yang saya tahu saya tetap kena menyanyi tadi. Jadi suamilah jadi runner pergi beli semua ubat yang disarankan Abang Jay Jay dan Datuk Seri Siti,”katanya menjawab soalan wartawan.
Menurut Ernie, ini bukan pertama kali dirinya kehilangan suara sebelum membuat persembahan. Dia pernah berdepan pengalaman sama sewaktu konsert yang dijayakan bersama Syamel sebelum ini.
“Ini kali kedua saya hilang suara. Saya percaya ini kerana faktor kurang rehat dan penat,” katanya lagi.
Sementara itu bercakap tentang pembabitan dalam Konsert Satu Suara Vol: 3, Ernie mengatakan ia adalah sebuah mimpi yang menjadi kenyataan.
“Saya sangat berbesar hati kerana dapat berada di sini. Saya masih ingat pertama kali sepentas dengan Siti pada usia 17 tahun, pada 2009. Tapi kami tidak menyanyi bersama.
“Tapi kini selepas 14 tahun, saya bersama beliau. Impian saya termakbul kerana selama ini Siti sentiasa menjadi inspirasi saya,” katanya.
Pada konsert yang berlangsung sekitar dua jam itu, Ernie mendendangkan hitnya termasuk Boneka secara solo, berduet dengan Siti menerusi lagu yang digubah semula susunan oleh meastro Aubrey Suwito untuk lagu Gundah dan Wajah Kekasih.
Must-Watch Video