Portal hiburan Gempak di bawah payung penjenamaan ‘Gempak Original Series’ dengan berbesar hati menyajikan drama rantaian baharu berjudul Tikam.

Idea asal dan skrip drama bersiri lapan episod ini diilhamkan oleh tenaga kreatif Gempak yang tersediri daripada Sham Hashim, Akmal Nahar dan Lemuel Ong dengan sokongan penulis skrip naskhah popular Angkara Cinta iaitu Rehal Nuharis.

Drama rantaian ‘Tikam’ terbitan syarikat produksi Juita Viden Sdn. Bhd. ini diarahkan oleh pengarah prolifik Michael Ang yang juga bertindak selaku penerbit di samping turut menjayakan watak pelakon pembantu dalam masa yang sama.

Selain Michael, drama ‘Tikam’ juga turut mendapat sentuhan Hadith Omar selaku pengarah bersama.

Selain itu, drama ini juga turut mempertaruhkan barisan pelakon popular seperti Fahrin Ahmad (Shahrol), Ben Amir (NJ), Intan Najuwa (Akma), Michael Ang (Mike), Jasmin Hamid (Madam Joan), Yuna Rahim (Ika), Ellyas Abdullah (Sap) dan Josiah Lim (Ed).

Menurut Ketua Content Studio Astro, Syazwan Zakariah, genre jenayah dipilih kerana ia jarang diketengahkan namun tetap menjadi pilihan penonton.

“Kali ini ‘Gempak Original Series’ menampilkan genre drama jenayah, yang mana ia merupakan antara genre yang jarang diketengahkan dalam siri drama tempatan, tetapi sering menjadi pilihan penonton.

“Selain mempertaruhkan nama-nama besar sebagai teraju utama, kekuatan naskhah ini bergantung kepada sudut penceritaan dan intipatinya yang padat dengan misteri dan susunan momentum plot twist yang mendebarkan untuk menguji minda audiens.

“Biarpun keseluruhan penggambaran naskhah ini terikat dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat seperti lokasi, jumlah pelakon dan krew yang terhad, pasukan kami sangat berpuas hati dengan kreativiti yang terhasil.

“Kami juga amat berbesar hati dengan kerjasama yang diberikan oleh penerbit Michael Ang, yang sebelum ini pernah berkolaborasi dengan Gempak untuk siri ‘The Maid’ pada awal tahun.

“Sentuhan pengarah Hadith Omar juga memberikan kelainan di samping penghayatan barisan pelakon terkenal dan berpengalaman.

“Syabas saya ucapkan kepada seluruh pasukan produksi yang telah mendedikasikan seluruh komitmen mereka untuk melahirkan sebuah lagi drama yang hebat dan berkualiti seperti Tikam.

“Semoga naskhah ini diterima baik sekaligus mencipta fenomena yang tersendiri di kalangan peminat drama Melayu tanah air. Selamat menonton!” ujarnya.

Tikam mengetengahkan genre jenayah thriller mengenai satu kes pembunuhan yang berlaku di dalam sebuah pejabat.

Dalam tempoh 24 jam, sekumpulan pekerja harus mencari dalang di sebalik pembunuhan tersebut.

Klimaks drama Tikam bergantung kepada keunikan jalan cerita yang padat dengan plot twist untuk menimbulkan unsur spekulasi dan suspen di kalangan penonton.

Tikam akan bersiaran setiap Rabu, jam 9.30 malam bermula hari ini secara eksklusif di saluran Astro Ria (104).

Untuk pilihan yang lebih fleksible, Tikam boleh distrim menerusi portal Gempak, aplikasi Astro GO dan On Demand.

Untuk pengisian di platform digital pula, kapsul istimewa berjudul ‘Diari Menikam Dari Mike’ pula akan ditayangkan pada setiap Rabu, jam 10.05 malam bermula hari ini 3 secara eksklusif di kesemua platform digital Gempak.

***Untuk kemaskini berita terkini, cepat & mudah, langgan saluran Telegram Gempak!

Dah mengundi artis kegemaran korang di AME 2021? Klik banner di bawah untuk mengundi!