Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP), yang terletak di Menara Berkembar PETRONAS, KLCC, bakal meneruskan keraian 25 tahun penubuhannya tahun ini menerusi sebuah konsert istimewa ‘Lochestra: Alif Satar & The Locos With The MPO’ pada Sabtu, 26 Ogos 2023 jam 8.30 malam.

Konsert ini merupakan langkah berterusan DFP menghargai bakat-bakat seni dan memberikan mereka platform sejajar dengan matlamat DFP untuk menghidangkan muzik pelbagai genre untuk menarik semua lapisan masyarakat.

DFP, yang boleh memuatkan 920 penonton pada satu masa, terkenal sebagai dewan konsert yang mempunyai tahap akustika yang tinggi.

Apa kata kita semak fakta menarik tentang Alif Satar & The Locos:

1. Seorang penyanyi/pelakon/hos berkebolehan, Alif Satar telah melakukan penjenamaan semula sebagai penyanyi utama kumpulan ‘old school’ yang dinamakan Alif Satar & The Locos yang dianggotai Tam Cobain (gitar), Efry Arwis (bass), Rajwan Juni (dram) dan Faliq Auri (saxophone).

2. Ditubuhkan pada tahun 2018, kumpulan ini telah membuat pelbagai persembahan di dalam dan luar negara termasuk Singapura dan UK.

3. Kumpulan ini telah merakamkan single I Want You To Love Me dan rakaman semula lagu hit kumpulan Raihan.

4. Mereka juga telah merakamkan single bersama penyanyi indie Diandra Arjunaidi bertajuk Lelaki X Sempurna sementara single terbaru mereka, Isteri, telah dijadikan runut bunyi untuk drama Risik Pada Hati.

5. Kumpulan ini juga telah memenangi tempat ketiga di Anugerah Juara Lagu 37 melalui lagu Anugerah Terindah.

Lebih menarik lagi, konsert ini akan menyaksikan kolaborasi kumpulan ini bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (atau Malaysian Philharmonic Orchestra - MPO).

Bakal dipimpin oleh Ahmad Muriz Che Rose, kumpulan ini dan MPO akan mempersembahkan lagu-lagu hits dalam interpretasi simfoni, antaranya, Hey!, Cukup Indah, Toxic, Jangan Nakal, Lelaki Seperti Aku, Sesungguhnya Aku dan Akhiri Penantianku.

Konsert ini mengukuhkan versatiliti MPO yang melangkau genre muzik, dari naskah agung klasikal ke muzik filem, tradisional, pop dan jazz.

Alif Satar & The Locos akan memasuki senarai kolaborasi terunggul MPO bersama artis-artis tempatan seperti Tan Sri SM Salim, Dato’ Sheila Majid, Dato’ Siti Nurhaliza, Dato’ M Nasir, Dato’ Jamal Abdillah, Ella dan Dayang Nurfaizah.

Saksikan ekstravaganza muzik di DFP sempena keraian 25 tahun penubuhannya!