Berita
Falisha Crossley Hamil 6 Bulan, Bakal Timang Bayi Lelaki
Pelakon Falisha Crossley memaklumkan dirinya kini sedang mengandung anak kedua.
Menurut Falisha atau nama sebenarnya, Nur Falisha Crossley Faisal, 34, usia kandungannya sudah mencecah enam bulan.
"Kandungan saya sudah 23 minggu. Dah nak masuk genap enam bulan.
"Insya-Allah jika ikut jangkaan, bayi kedua saya ini akan lahir pada awal Disember nanti," katanya kepada Astro Gempak.
Falisha yang pernah memenangi Pelakon Baru Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-28 itu berkata, cahaya mata keduanya yang bakal lahir itu nanti merupakan bayi lelaki.
"Syukur Alhamdulillah, selepas ini dah ada sepasang. Cuma, mengandung anak kedua ini pengalamannya memang agak berbeza sedikit.
"Saya tak boleh nak ambil makanan manis-manis. Makan aiskrim saya muntah, makan coklat pun buat muntah. Walhal masa anak pertama, saya suka makan manis," katanya.
Dalam pada itu, menurut Falisha dia menafikan bahawa kehamilan tersebut mempunyai kaitan dengan 'bayi PKP'.
"Bukan bayi PKP. Cuma, saya dapat tahu diri saya hamil ketika tempoh PKP sahaja.
"Mula-mula tu risau juga sebab hairan kenapa rasa macam sesak nafas dan cepat penat. Bila pergi periksa, doktor kata positif. Rupanya, positif lain," ceritanya.
Sebelum ini, pelakon filem Mat Moto itu dikurniakan anak sulung, Nur Raysha Mikhayla yang kini menginjak usia tiga tahun.
Falisha mendirikan rumah tangga dengan juruterbang, Mohamad Rafiq Mohd Arif pada Januari 2017.
Must-Watch Video