Penyanyi Nubhan bersedia untuk menerima kritikan dan komen netizen apabila mengambil risiko untuk menampilkan model dan penari lelaki separa bogel dalam muzik video lagu terbaharunya berjudul Tak Tahan.

Kata Nubhan, dia tidak boleh menghalang hak individual untuk menghakimi atau bersikap prejudis terhadap pemilihannya untuk konsep muzik video terbabit.

"Dalam lagu ini ada elemen tradisional dan sinonim dengan silat. Jadi lelaki-lelaki itu tampil sebagai pesilat walaupun tak berbaju tetapi tak keterlaluan sebab masih menjaga daripada segi aurat mereka.

"Kita nak juga ambil elemen tradisional dan modenkan, kita menghargai warisan kita. Ini sebahagian daripada usaha kita.

"Harap ia diterima dengan cara yang positif, apa yang peminat rasa kita tak boleh halang. Fantasi itu hak individu, kita tak boleh nak kawal.

"Saya sudah bersedia, orang akan terus bercakap. Saya terima sama ada secara membina atau tidak, selagi bergelar anak seni tak sah kalau tak dikritik! Insya-Allah akan diterima dengan baik...," katanya ketika majlis pelancaran single Tak Tahan di Love @ Matic Kuala Lumpur semalam.

Pada majlis pelancaran lagu itu juga, Nubhan turut menampilkan empat lelaki berbadan sasa sebagai penari latar.

Lagu Tak Tahan ciptaan komposer Indonesia, Ressa Herlambang itu merupakan single keenam selepas empat tahun menyepi dalam dunia seni.

Menyifatkan Tak Tahan sebagai single comeback, yang menariknya lagu tersebut menampilkan lima adunan melodi dari Timur Tengah, dangdut, irama Malaysia, qasidah dan pop fusion.

"Lepas ini mungkin lagu ini akan digunakan untuk aktiviti kecergasan seperti zumba, gimnasium atau bersukan memandangkan lagu ini berentak rancak," tambah Nubhan.

Tak Tahan diedarkan oleh NAR Records dan boleh dimuat turun di semua platform digital mulai hari ini.