Pelakon popular, Fauzi Nawawi mengakui saingan ramai pelakon baru ketika ini memberi impak pada tawaran berlakon yang diterima sehingga dia mengambil keputusan membuka bisnes hotel bajet.

Akuinya, dia mengambil inspirasi daripada pelakon yang sudah berjaya seperti Datuk Yusof Haslam, Datuk Rosyam Nor termasuk Fattah Amin juga sudah mempunyai bisnes sendiri.

"Saya tengok tawaran lakonan sejak 3 tahun lepas saingan sangat hebat dengan muncul artis baru. Saya sudah berada dalam bidang lakonan lebih 20 tahun dan bisnes ini menjadi satu platform untuk saya kekal dalam industri," katanya kepada Astro Gempak.

Fauzi percaya jika hanya mengharap lakonan tanpa pendapatan sampingan, kerjaya seorang pelakon itu tidak ke mana.

"Saya turut menasihati diri saya sendiri agar mempunyai cabang bisnes lain.

"Apabila duduk dengan sahabat dan kami berjalan sekitar Kuala Lumpur, saya melihat kebanyakan hotel adalah pemiliknya bukan bumiputra.

"Jadi, tercetus idea membina hotel bajet berdekatan hospital, parkir yang mudah dan masih dalam kawasan bandar," katanya.



Meskipun baru memulakan bisnes ini sejak 2 bulan lalu, Fauzi masih menerima tawaran berlakon.

"Tawaran masih ada cuma tidak macam zaman saya dulu. Bayaran rendah, watak tidak bersesuaian dan cerita sekarang banyak kisah cinta.

"Jika diikutkan saya berlakon hanya untuk duit saja tapi jiwa saya jika berlakon mahu saya puas dan penonton juga puas," katanya.

Hotel yang dikenali Bunker Hotel & Restaurant ini dibina dengan kos hampir RM8 juta. Ia dirasmikan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad malam tadi.

Hadir sama, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim.

Hotel ini yang terletak di Jalan Sarikei Off Jalan Pahang, Pekeliling Kuala Lumpur (berdekatan Hospital KPJ Tawakal) mempunyai 28 bilik dengan konsep Islamik iaitu hanya menyediakan makanan dan minuman halal serta tiada arak.

Ujarnya, tetamu juga boleh menempah bilik hotel ini dari RM150 sehingga RM250 menerusi laman sesawang, Traveloka yang memberi penarafan 3 bintang setengah.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Astro Gempak