Penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob menafikan dakwaan mengatakan rumah tangga adiknya, Raf bersama pelakon Mawar Rashid kini sedang bergolak.

Menurut Fazley, dia sentiasa berhubung dengan adiknya dan Raf tidak menyebut berlaku sebarang masalah.

“Tak wujud pergolakan antara mereka. Saya rapat dengan Raf dan apa sahaja berlaku dia akan cerita kepada saya.

“Saya baru berjumpa dengan Raf semalam (Ahad) dan mengaku kepada saya hubungan mereka baik-baik sahaja,” katanya kepada Gempak.

Fazley ditemui ketika majlis santai bersama media di restoran miliknya iaitu Suka Sucre di Hotel Maya, Kuala Lumpur.

Mengulas mengenai keadaan Mawar selepas kontroversi membuka tudung sebelum ini, Fazley berkata dia memberi ruang kepada adik iparnya untuk melalui fasa bertenang.

Dalam masa yang sama, Fazley juga menolak dakwaan adik iparnya mengalami masalah depressi selepas cerita itu hangat diperkatakan.

“Sejak isu itu timbul, saya tidak pernah berjumpa Mawar. Tetapi saya akan hubungi dia melalui Whatsapp. Saya cuba beri semangat kepadanya.

“Dia dalam keadaan baik. Raf juga maklumkan perkara sama kepada saya. Kita beri ruang dan doakan baik-baik untuk dia,” ujarnya.

Sementara itu, Fazley juga mengakui sebagai abang dia juga turut terkena tempias apabila ramai yang bertanya mengenai isu tersebut.

“Iya, ramai yang tanya saya. Saya sibuk tumbuk sambal pun ada mesej masuk. Saya faham dan tidak pernah rimas.

“Soalan mereka itu tidak menghina. Mereka hanya prihatin. Sebagai abang long saya ambil tanggungjawab penuh.

“Cuma saya ambil prinsisp lebih selesa berdiam dan berdoa dari jauh,” jelasnya.

Terdahulu, pada 10 Oktober lalu Mawar atau Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid, 29, mengejutkan banyak pihak apabila berkongsi foto tidak lagi berhijab.

Sejak dari itu dia tidak memberi sebarang kenyataan berhubung tindakannya itu. Namun baru-baru ini Mawar telah memadam gambar tidak bertudung di laman sosial miliknya.