Pelakon, Nur Fazura mencipta sejarahnya tersendiri apabila berjaya menganjurkan konsert sulungnya, Faztival Fazura 2022 yang mendapat sambutan hangat bertempat di Axiata Arena pada Ahad.

Fazura yang juga merupakan seorang usahawan mengucapkan rasa syukur dan terharu dengan sokongan padu yang diberikan.

“Terima kasih kerana hadir ke Konsert Faztival Fazura. Saya berasa sangat bersyukur dengan sambutan luar biasa ini dengan kehadiran peminat dan juga mereka yang memberikan sokongan,” katanya sambil tersenyum.

Pada malam itu juga, isteri kepada pelakon, Fattah Amin ini telah mencipta dua rekod baharu Malaysia Book of Records.

Rekod tersebut adalah The Largest 'Tudung Fazura' Gathering in an Event dan The Largest Tudung Bawal in Malaysia.

Konsert yang berlangsung dengan meriah itu juga menampilkan persembahan nama-nama besar iaitu Datuk M Nasir, Datuk Awie, Ella, Ruffedge, Zizi Kirana, Ippo Hafiz dan Amir Masdi.

Istimewanya lagi, Faztival Fazura juga turut menjemput artis terkenal Indonesia, Mulan Jameela dan Ahmad Band hadir bagi menghiburkan peminat.

BACA: [VIDEO]: “Berhijab, Sopan Pakaiannya, Suara Padu” - Penampilan Mulan Jameela Di Konsert Faztival Fazura Dipuji, Ramai Doakan Semoga Istiqamah

Fazura juga tidak ketinggalan tampil menyampaikan lagu-lagu popularnya menerusi medley dan diakhiri dengan gubahan semula lagu Jika Cinta Allah yang diiringi petikan gitar akustik oleh Ahmad Dhani.

Paling sweet pada malam itu, Fattah turut muncul di pentas dengan memberikan sejambak bunga kepada isterinya dan menerima sorakan peminat.

Konsert ini berlangsung dengan sukses dan turut diberikan bayangan berkemungkinan Faztival Fazura 2023 bakal diadakan tahun hadapan.