Minggu lalu viral satu video memaparkan keadaan langit berwarna jingga kemerah-merahan yang berlaku di kawasan Jambi, Indonesia.

Difahamkan, kejadian luar biasa itu berlaku kira-kira jam 11 pagi.

Maka tersebarlah beberapa teori oleh warga netizen hingga ada yang menyatakan ia berlaku disebabkan peningkatan suhu luar biasa.

Namun, menurut ahli astronomi Indonesia Marufin Sudibyo, fenomena langit berwarna merah bukanlah disebabkan faktor tersebut.

"Kejadian itu dikenali sebagai 'Hamburan Rayleigh' yang disebabkan berlakunya pergerakan jerebu daripada titik panas.

"Hamburan Rayleigh berlaku apabila cahaya matahari telah diserakkan oleh asap dan melepaskan cahaya gelombang panjang yang selalunya berwarna jingga atau merah menyebabkan keadaan menjadi malap dan kemerahan," katanya.

Tambahnya, dalam kes di Jambi kepadatan partikel-partikel mikro dan nano di udara dianggap cukup besar sehingga lebih padat berbanding kepadatan partikel ketika udara normal.

"Kejadian ini tidak memberi kesan atau gangguan kepada penglihatan manusia," katanya.

Difahamkan, kejadian seperti itu pernah berlaku di Indonesia ketika letupan gunung berapi Krakatau pada tahun 1883 dan Pinatubo pada tahun 1991.

Jika anda masih belum melihat rakaman video langit berwarna merah itu boleh saksikannya di bawah.

Sumber: Badan Nasional Penanggulangan Bencana ( BNPB)