Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) memperkenalkan tiga anugerah baharu yang dipertandingkan dalam Festival Filem Malaysia ke- 32 (FFM32) hari ini.

Tiga kategori baharu tersebut adalah Anugerah Seniwati Sepanjang Zaman, Anugerah Filem Antarabangsa Terbaik dan Anugerah Filem Pendek Terbaik

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Prof Dr Md Nasir Ibrahim, penambahan tiga kategori itu adalah untuk meluaskan lagi penyertaan di samping memberi penghargaan kepada penggiat seni.

“Untuk kategori Anugerah Seniwati Sepanjang Zaman, ia diwujudkan untuk memberi penghargaan kepada mereka yang berjasa dalam industri perfileman tanah air.

“Dua lagi kategori baharu iaitu Anugerah Filem Antarabangsa Terbaik dan Anugerah Filem Pendek Terbaik diwujudkan untuk membuka lebih banyak peluang kepada penggiat seni menyertai festival filem ini,” jelasnya.

Nasir ditemui di majlis sidang media pertama FFM32 yang berlangsung di Royal Selangor pada Selasa.

Dalam pada itu, Nasir juga menjelaskan filem-filem dari platform tayangan seperti Astro First juga turut layak bertanding selain filem yang ditayangkan di pawagam.

“Selain filem yang ditayangkan di pawagam, filem yang ditayangkan di Astro First juga layak bertanding.

“Tetapi, penyertaan tidak dibuka untuk filem-filem yang ditayangkan di platform digital seperti Netflix dan sebagainya,” katanya.

Nasir juga menyatakan pihaknya sudah menerima beberapa maklum balas positif daripada pelbagai negara dan mensasarkan 10 negara yang akan turut serta dalam kategori Anugerah Filem Antarabangsa Terbaik.

“Setakat ini, kami sudah menerima maklum balas positif daripada beberapa negara termasuklah Indonesia, Pakistan dan Singapura selain beberapa negara yang menjalin hubungan baik untuk turut serta dalam kategori filem antarabangsa.

“Selain itu, kami mensasarkan 10 negara yang akan turut serta sekaligus membuka peluang kepada filem-filem dari luar negara untuk terbabit dalam festival filem ini,” katanya.

FFM32 bakal berlangsung pada 2 Disember 2022 akan datang.