Terkini
FFM33: Qisha Hairulzain Tak Sangka Menang Anugerah Pelakon Kanak-Kanak Terbaik - “Sekolah Tetap Kena, Solat & Ilmu Jangan Dilupakan…”
Pelakon cilik, Qisha Hairulzain sebak setelah diumumkan sebagai pemenang anugerah Pelakon Kanak-Kanak Terbaik di Festival Filem Malaysia Ke-33 (FFM 33) menerusi filem Magik.
Menurut Qisha dia tidak menyangka bakal menerima anugerah berkenaan.
Malah, dia berasa bangga dan bersyukur dengan kejayaaan tersebut.
"Rasa bangga dengan diri sendiri tetapi susah untuk saya gambarkan perasaan gembira saya atas kemenangan ini."
"Saya sebak sebab tak jangka akan menang kerana berasakan calon lain adalah lebih bagus dan layak daripada saya."
"Bahkan saya tak terfikir untuk tercalon dalam kategori ini,” katanya.
Qisha berkongsi perkara tersebut ketika ditemui sidang media malam kemuncak FFM33 di Angkasapuri, Kuala Lumpur pada malam Sabtu.
Mengulas mengenai permulaan karier lakonannya, Qisha,12 memaklumkan individu yang menjadi inspirasi disebalik kariernya adalah ibu dan ibu saudaranya iaitu Amanda dan Haliza Misbun.
"Saya mula berlakon sebab menginspirasikan ibu saudara saya dan juga ibu saya sendiri.
"Waktu saya kecil, saya selalu ikut ibu jalani 'shooting' dan bila selalu ikut saya jadi macam minat.
"Dan bila saya dapat saja 'first job' ketika berusia empat tahun, saya buat dalam keadaan yang semangat gila,” ujarnya.
Dalam pada itu, anak saudara kepada Haliza Misbun ini turut berpendapat setiap individu yang masih cilik dan menanam impian untuk menjadi pelakon tetap perlu mengutamakan pendidikan.
"Buat mereka yang menanam impian nak jadi pelakon, pada pendapat saya dahulukan ilmu terlebih dahulu."
"Dalam masa yang sama, solat serta ilmu itu jangan pernah dilupakan dan tetap kena bersekolah,” ujarnya lagi.
Sekadar info, Qisha berjaya menewaskan empat lagi calon lain iaitu Joanne Marissa (Filem Agrinai), Nur Qistina Raisah (Filem Rahsia), Shamsul Danish (Filem Eva) dan Syed Muhammad Baqir (FIlem Memoir Seorang Guru) untuk merangkul trofi Pelakon Kanak-Kanak Terbaik FFM 33.
Must-Watch Video