Pelakon lagenda, Jackie Chan kini muncul dengan filem terbaharu berjudul Ride On.

Bukan biasa-biasa, filem Ride On ini mengetengahkan kisah hero yang menampilkan banyak adegan kisah sebenar tentang dunia pelakon lagak ngeri atau stuntman.

Jika dilihat dalam industri perfileman di Hong Kong, selain memartabatkan seni mempertahankan diri ternyata pelakon lagak ngeri ini juga turut menyumbang sebahagian besar dalam kejayaan sesebuah filem.

Walau bagaimanapun, sehingga kini kehidupan pelakon lagak ngeri tidak diketahui umum. Mereka ini sanggup mempertaruhkan nyawa mereka untuk beraksi cemerlang dalam sesebuah naskhah namun kerja keras mereka sering kali tidak diiktiraf.


Filem Seni Mempertahankan Diri


Mungkin ada yang tidak tahu, filem seni mempertahankan diri dari Hong Kong pada awalnya tidak menggunakan skrin hijau dan juga kesan khas seperti hari ini.

Segalanya dilakukan secara neutral dan aksi kung fu sebenar juga dilakukan oleh mereka yang mahir dan pelakon tidak dikenali dalam industri perfileman.

Hanya mereka yang telah merakam aksi yang mengancam nyawa, adegan berbahaya dan seni mempertahankan diri dengan parut di seluruh badan mereka boleh layak mendapat gelaran "stuntman".


Watak Jackie Chan sebagai Luo


Jackie memegang watak sebagai Lao Luo iaitu seorang pelakon lagak ngeri dari generasi lama. Luo tidak dapat menyesuaikan diri dengan era dan teknologi baharu.

Istimewanya lagi, watak Luo juga mempunyai sedikit bayangan Jackie dalam kehidupan sebenar.
"Saya orang biasa, saya hanya berani melakukan beberapa perkara yang luar biasa,” ujarnya.

Jackie juga berharap setiap orang dapat berpegang teguh pada minat dan menjadi wira pada jiwa mereka sendiri.


Jackie Belum Serik Berlakon Filem Aksi


Walaupun ada ketikanya Jackie yang kini berusia 69 tahun kelihatan sedikit bergelut untuk melakukan adegan aksi dalam Ride On namun kredibilitinya sebagai pelakon aksi masih lagi terbaik.

Tergelincir menuruni tangga setinggi beberapa meter, berlawan di tingkat dua dengan tergantung dan lain-lain aksi merbahaya juga tidak melemahkan semangat bintang lagenda ini.

"Saya pernah berjuang untuk hidup (untuk mencari rezeki), kemudian saya berjuang untuk peminat, tetapi sekarang saya berjuang untuk diri sendiri. Saya mahu membuktikan bahawa saya masih boleh melakukannya,” jelasnya.

Bagi Jackie, segala apa yang dilakukannya bukan sahaja untuk memberikan persembahan terbaik kepada peminat tetapi juga untuk kepuasan dirinya.

“Selagi saya masih berupaya beraksi, saya harap dapat tampil dengan filem setiap tahun. Saya pasti akan melakukan aksi itu sendiri. Ini janji saya kepada peminat saya,” katanya.


Tentang Ride On


Selain Jackie, pelakon lain yang membintangi Ride On adalah Liu Haocun, Kevin Guo, Andy On, Joey Yung dan juga penampilan istimewa oleh Wu Jing.

Boleh dikatakan filem ini ibarat penghargaan dari Jackie kepada semua pelakon lagak ngeri dalam industri perfileman seluruh dunia.

Bahkan dalam Ride On juga diberikan gambaran tentang bagaimana proses sesebuah filem aksi dilakukan dan perkembangannya dari zaman ke zaman.

Jangan lupa saksikan Ride On yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 13 April ini.