Laman Utama

Filem Berinspirasi Kisah Benar, Tujuh Dua Belas Rungkai Kes Jenayah Penculikan Kanak-Kanak

gempak
Shahrin Zulkifle
30/03/2023
06:00 MYT
Sponsor Banner
Filem Berinspirasi Kisah Benar, Tujuh Dua Belas Rungkai Kes Jenayah Penculikan Kanak-Kanak

Boleh dikatakan kes penculikan melibatkan kanak-kanak merupakan antara kes jenayah yang sering berlaku dan kerap mendapat perhatian ramai.

Maka, ia telah menjadi inspirasi kepada syarikat produksi Osmosis Production Sdn. Bhd. untuk menghasilkan sebuah filem aksi berjudul Tuju Dua Belas yang mengangkat tema tentang jenayah berkenaan.

Pengarahnya, Thorpe Ali berkata, idea untuk menghasilkan filem tersebut bermula sejak 10 tahun lalu dan ideanya tercetus dengan kisah penculikan kanak-kanak yang hangat suatu ketika dahulu.

“Mengenai tajuk Tujuh Dua Belas, ia sebenarnya memberi maksud kejadian penculikan yang berlaku dari pukul 7.00 pagi hingga 12 malam. Ia memberi mesej bahawa sekiranya berlaku kejadian sebegini, tindakan pantas harus diambil segera.

“Kejadian penculikan ini selalunya tidak menunggu masa lama kerana mudah dikesan dan filem ini menunjukkan watak utamanya berusaha untuk mencari penculik,” ujarnya.

Menariknya lagi, filem ini juga turut menampilkan pesilat kelahiran Indonesia yang popular di media sosial iaitu Chintya Chandranaya.

Ia mengisahkan tentang Safia, seorang atlet seni mempertahankan diri yang terpaksa bertarung nyawa untuk menyelamatkan anak saudaranya yang diculik oleh sekumpulan penyelundup organ manusia.

Mengenai keputusan untuk menerbitkan sebuah filem aksi, Thorpe memberitahu berdasarkan pemerhatian yang dibuat, genre aksi merupakan antara yang digemari penonton selain filem-filem bergenre seram dan komedi.

Jelasnya lagi, filem arahannya itu juga sudah semestinya menampilkan beberapa perbezaan dengan filem aksi yang pernah diterbitkan.

“Kebanyakan filem aksi selalunya memaparkan watak lelaki selaku tunjang utama, tetapi filem Tujuh Dua Belas ini mengangkat golongan wanita yang lincah dalam seni bela diri.

“Disebabkan itu saya memilih pelakon seperti Farali Khan kerana dia memiliki asas seni bela diri MMA, begitu juga pemilihan Chintya yang sememangnya tular dengan aksinya menendang tong gas terutama sekali di YouTube,” jelasnya.

Untuk filem ini, Thorpe memberitahu penggambaran dilakukan sekitar Januari 2022 di beberapa buah lokasi seperti Kuala Lumpur serta Gopeng, Lenggong dan Pengkalan Hulu, Perak.

Berkenaan cabaran sepanjang pembikinan Tujuh Dua Belas, antaranya adalah pergerakan yang terbatas dan banyak babak yang tidak dapat dibuat memandangkan ketika itu negara masih lagi dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tujuh Dua Belas dibintangi pelakon hebat seperti Farali Khan, Johan As’ari, Chintya Candranaya dan ramai lagi. Saksikan filem Tujuh Dua Belas di pawagam seluruh Malaysia bermula 4 Mei depan.

Sinopsis:

Sekitar pukul 7.00 pagi, Safia (Farali Khan) dan anak saudaranya Adam (Adam Darwisyh) dalam perjalanan ke hotel untuk berjumpa rakannya Desi (Chintya Chandranaya) dan ke lapangan terbang untuk bercuti ke kampung Desi. Ketika dalam perjalan ke hotel, kereta Safia ditahan sekumpulan lelaki dan dia diancam serta beg dan telepon bimbitnya dirampas oleh Bentayan dan Adam diculik. Safia cuba melawan namun terpaksa mengalah jika tidak Adam akan ditembak. Safia cuba mengekori mereka dan malangnya apabila tiba di satu persimpangan, mereka terpisah. Pelbagai dugaan ditempohi oleh Safia untuk menjejaki mereka.

Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live