Pengarah terkenal, Aziz M Osman mempunyai sebab tersendiri mengapa dia tidak lagi mengarahkan filem-filem berkualiti setanding hasil karyanya suatu ketika dahulu.

Hal itu dijelaskan menerusi respon Aziz terhadap pertanyaan seorang warganet di Twitter.

"Bang boleh tahu kenapa abang dah tak buat filem-filem berkualiti macam dulu dah?" tanya netizen terbabit.

Tidak berdiam diri, Aziz menjawab soalan itu dengan berterus terang.

"Sebab filem 'kualiti' tidak boleh tampung belanja saya sekeluarga," responnya.

Dalam pada itu, ada juga netizen yang menyarankan Aziz menghasilkan filem seperti Korea Selatan.

Tidak mengulas panjang, Aziz hanya meminta individu tersebut menonton filem tempatan berkualiti seperti One Two Jaga.

Ekoran itu, rata-rata netizen mengimbas kembali filem-filem hebat arahan Aziz yang pernah pecah panggung dan diingati kebanyakan penonton.

Aziz atau nama sebenarnya Abdul Aziz Mohd. Osman, 59, pernah memenangi pelbagai anugerah di Festival Filem Malaysia (FFM).

Antara filem terkenal arahannya adalah Fenomena, XX Ray, Puteri Impian dan banyak lagi.