Filem pecah panggung di negara China pada tahun ini, On Your Mark kini bersedia menemui penonton Malaysia mulai 26 Ogos ini

Diarahkan oleh pengarah hebat Malaysia Chiu Keng Guan, filem On Your Mark yang telah ditayangkan di China pada 18 Jun lalu berjaya meraih kutipan pecah panggung sebanyak RM8.7 juta (RMB 13.65 juta) sekali gus menduduki tangga no 1 carta filem di China.

On Your Mark atau tajuk asalnya “The Great Dad” atau “Liao Bu Qi de Lao Ba” ini merupakan sebuah filem yang memberi penghormatan kepada bapa-bapa seluruh dunia dan ia diadaptasi daripada kisah benar salah satu sukan popular di China iaitu larian maraton.

Menurut Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, tayangan filem ini selari dengan tema merdeka Astro pada tahun ini iaitu Kita Teguh Bersama.

“Sebagai penerbit yang terlibat dalam kesemua filem arahan Chiu Keng Guan sejak tahun 2010 sehinggalah kini, tentunya Astro Shaw amat berbangga dapat membawakan sebuah lagi masterpiece oleh pengarah hebat Malaysia ini yang telah menempa kejayaan di peringkat antarabangsa

“Filem ini mempunyai elemen penghayatan yang cukup mendalam tentang semangat juang dan prihatin terhadap insan tersayang. Kami harap, filem ini turut dapat mencipta kejayaan tersendiri di sini serta kejayaan Chiu Keng Guang di China,” ujarnya menerusi satu kenyataan.

Chiu Keng Guan juga semenangnya terkenal dengan karya yang menerapkan unsur perpaduan, kekeluargaan, persahabatan, semangat patriotisme dan dilihat berjaya mewarnai filem dengan emosi, budaya dan keharmonian masyarakat Malaysia.

Sebelum ini, Chiu Keng Guan cemerlang dengan filem arahannya seperti OlaBola (2016), The Journey (2014), Think Big Big (2018), Great Day (2011) dan Woohoo! (2010).

Menerusi On Your Mark, pengarah hebat itu sekali lagi memberi sentuhan magisnya yang mampu menyentuh perasaan penonton melalui subjek utama iaitu hubungan kekeluargaan serta pengorbanan dan semangat juang dalam mengejar sebuah impian.

Lebih mengujakan, filem ini berjaya menamatkan tayangannya di China dengan meraih kutipan secara keseluruhan sebanyak RMB148 juta (RM96 juta).

Menariknya tentang filem On Your Mark, ia dipadatkan dengan babak penuh emosi dengan iringan muzik dan lagu rasmi filem bertajuk ‘My World Changes Because of You’ nyanyian pelakon utamanya, Wang Yanhui and Zhang Youhao.

Bukan itu sahaja, malah penghasilan On Your Mark juga menggabungkan tenaga-tenaga kreatif seperti pengarah muzik oleh pemenang Penyuntingan Bunyi Terbaik di Academy Awards, Du Duzhi; pengarah suntingan oleh Penyunting Terbaik di Asian Film Awards, Deng Wentao; pengarah fotografi oleh jurugambar terkenal, Park Song II, penata bunyi oleh Wang Xiwen, dan pengarah seni oleh Zheng Chen.

On Your Mark dibintangi pelakon hebat China seperti Wang Yanhui, Zhang Youhao, Gong Beibi, Zhao Liang, Li Yu, Liu Jinshan dan penampilan istimewa oleh pelakon filem The Last Tycoon, Feng Wenjuan.



Filem ini mengisahkan seorang anak muda, Xiao Erdong bercita-cita untuk menjadi pelari maraton seperti ibunya.

Namun, cita-citanya dihalang oleh ayahnya Xiao Daming kerana tidak mahu melihat anaknya kecewa mengenangkan Xiao Erdong berkemungkinan mewarisi sindrom buta seperti ibunya yang telah meninggal dunia.

Namun, sewaktu berlatih secara sembunyi, Xiao Erdong telah terjatuh dan mimpi ngeri ayahnya menjadi kenyataan apabila Xio Erdong disahkan buta.

Saksikan filem hebat On Your Mark yang akan berada di Pawagam Rumah Anda, Astro First bermula 26 Ogos 2021.

Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand. Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang.

Ikuti info dan klip-klip menarik tentang filem ini menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Shaw.