Laman Utama

Filem Gadis Pekak Suka Kelip-Kelip Pusing Malaysia Dengan Konsep Wayang Pacak!

gempak
Amri Hassan
13/09/2023
09:45 MYT
Sponsor Banner
Filem Gadis Pekak Suka Kelip-Kelip Pusing Malaysia Dengan Konsep Wayang Pacak!
Syarikat produksi, 42nd Pictures Sdn Bhd yang diterajui oleh pasangan suami isteri, Yasu dan Bea Tanaka, akan mengadakan Tayangan Khas untuk filem terbaharu berjudul “magiK” di beberapa lokasi terpilih di seluruh Malaysia selama sepanjang dua bulan, mulai bulan September sebelum ditayangkan di pawagam pada 30 November 2023.
Tujuan tayangan khas ini ialah untuk berkongsi filem dengan para penonton. Yasu Tanaka, pengarah / penulis skrip filem “magiK”, bersama isterinya, Bea Tanaka yang juga penerbit, akan turun padang di semua lokasi
Filem “magiK” bergenre drama, keluarga dan fantasi adalah arahan Tanaka yang berasal dari Jepun, Beliau menampilkan barisan pelakon-pelakon hebat seperti Beto Kusyairy, Nadia Aqilah, Nam Ron, Ruminah Sidek, Roy Azman, Kamarul Eqifshah dan bintang cilik, Qisya Hairulzain.
Mengulas konsep tayangan khas ini, Bea berkata, pihaknya mahu menampilkan kelainan untuk masyarakat luar bandar termasuk golongan bermasalah pendengaran untuk menonton filem “magiK” ini.

Closed caption untuk penonton masalah pendengaran

Versi yang akan ditayangkan untuk tayangan khas ini ialah versi yang mempunyai “closed caption” yang memudahkan penonton dari komuniti bermasalah pendengaran.
“Filem “magiK” ini memaparkan kisah orang kampung di Kampung Kuantan, Kuala selangor dan kami mahu mendekati golongan sasaran seperti masyarakat luar bandar menerusi konsep tayangan khas ini.”
“Kami amat berterima kasih kepada PORT Ipoh yang menaja tayangan di Ipoh untuk 2 hari. Untuk tayangan-tayangan ini kami telah bekerjasama dengan Persatuan Orang Pekak Perak untuk melibatkan komuniti pekak. Kami juga telah menjemput sekolah pendidikan khas sekitar Ipoh dengan kerjasama JPN Perak," katanya.

Bea Tanaka guru pendidikan khas

Tanaka menyatakan bahawa Bea adalah bekas guru pendidikan khas untuk golongan bermasalah pendengaran selama 15 tahun dan masih akrab dengan golongan istimewa ini.
Sementara itu, juga Tanaka berkata bahawa “magiK” bukan sekadar mengangkat kisah gadis pekak yang boleh berkomunikasi dengan kelip-kelip, tetapi turut mengajak penonton menyelami kelebihan dan keistimewaan golongan bermasalah pendengaran.
“magiK” adalah filem kedua arahan Tanaka selepas Nota yang ditayangkan di panggung pada 2015.
Tanaka berpeluang melihat konsep tayangan wayang pacak pada tahun 2017, apabila KOMFIT telah menjayakan tayangan NOTA di mana Pak Hassan Abdul Muthalib sebagai moderator pada masa itu.
“Pengalaman itulah yang mendorong kami untuk merancang salah satu tayangan khas kali ini di Terengganu dengan konsep wayang pacak. Kami amat teruja untuk berinteraksi secara langsung dengan para penonton yang akan hadir untuk tayangan-tayangan khas ini,” ujar pasangan ini.
Menurut Tanaka, beliau mendapat idea untuk “magiK” bila dua idea disatukan iaitu; pertama, hubungan Bea dengan komuniti pekak dan kedua minat beliau kepada alam semula jadi.
“Begitulah cara dua idea ini digunakan untuk mencipta cerita tentang seorang gadis pekak yang boleh berkomunikasi dengan kelip-kelip,” tambah Tanaka.

7 lokasi wayang pacak

Yasu berkata, tayangan khas filem “magiK” membabitkan tujuh lokasi terpilih di seluruh tanah air yang akan berlangsung antara September dan Oktober.
“Kami berharap orang ramai tidak melepaskan peluang menonton tayangan khas filem “magiK” yang sesuai untuk tontonan seisi keluarga.
Tayangan khas ini membabitkan lokasi di Warung Adri, Kuantan pada 16 September ini, disusuli Pantai Telaga Papan (23 September) dan Space08000, Sungai Petani (29 September). Tayangan khas di Terengganu akan diadakan di tepi pantai dengan konsep Wayang Pacak.
Selain itu, lokasi tayangan khas di YMCA, Kuala Lumpur (1 Oktober); YMCA, Georgetown, Pulau Pinang (7 Oktober); PORT, Ipoh (14 dan 15 Oktober) Tiga lokasi tayangan khas ini akan melibatkan penonton dari komuniti bermasalah pendengaran. Tayangan khas “magiK” di YMCA KL, adalah sebahagian dari sambutan “International Deaf Day”.
Jadual tayangan khas akan berakhir di Embrace Hall, Johor Bahru pada 20 Oktober.

Sinopsis "magiK"

Filem “magiK” memaparkan Kit, gadis pekak berusia 7 tahun yang tinggal di sebuah perkampungan yang terkenal dengan kelip-kelip. Ibu bapanya bergelut dengan masalah kewangan kerana bapanya yang bekerja sebagai pendayung yang membawa pelancong melihat kelip-kelip.
Ibu mahu Kit belajar bahasa isyarat dan pergi ke sekolah, namun, Kit tidak berani untuk berkomunikasi dengan orang ramai kerana dia lebih cenderung untuk hidup dalam dunianya yang dikelilingi alam semula jadi.
Namun, semuanya mula berubah apabila Kit bertemu dengan seekor kelip-kelip yang seolah-olah berkomunikasi dengannya, berkelip dan terbang dengan cara tertentu.
Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut mengenai tayangan khas filem magiK boleh layari laman web www.42ndpictures.com dan mengikuti akaun TikTok dan Instagram (#magikthemovie), Facebook (42nd Pictures) serta Channel YouTube 42nd Pictures.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live