Filem terbitan Astro Shaw dan produksi Enjit-Enjit Semut, Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa berjaya meraih kutipan melebihi RM1 juta dalam tempoh 4 hari tayangan di Astro First.

Kejayaan ini mengulangi sejarah filem francais Kampong Pisang yang menemui penonton pada bulan Ramadan lalu, iaitu 18 Puasa Di Kampong Pisang.

Menurut Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad, kejayaan ini membuatkan pihaknya ingin terus menyiarkan karya terbaik buat penonton.

“Selepas kejayaan demi kejayaan tercetus daripada francais ini, ia mendorong pihak kami untuk terus persembahkan lebih banyak filem yang dilihat berpotensi sebagai karya terbaik.

“Kami yakin dengan adanya karya yang berkualiti dan menepati cita rasa penonton seperti filem Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa, ia akan terus memperkukuhkan kepercayaan penonton,” jelasnya.

“Alhamdulillah, filem ini dilihat diterima oleh kebanyakan penonton dan terima kasih kepada semua barisan pelakon, kru dan semua yang terlibat di atas hasil usaha keras dalam menjayakan filem Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa.

Di kesempatan ini juga saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak Astro yang sentiasa meletakkan kepercayaan kepada saya untuk mengetengahkan karya-karya yang dihasilkan,” kata pengarah Mamat Khalid.

Di platform media sosial juga menyaksikan penonton berkongsi komen bahawa filem arahan sutradara Mamat Khalid tidak pernah mengecewakan, dan ada juga merasakan filem muzikal tersebut telah menyerikan ‘mood’ raya serta jenaka yang dipersembahkan membawa penonton lari seketika daripada tekanan dan kebosanan.

Filem muzikal ini masih mengekalkan barisan pelakon utama Kampong Pisang seperti Kazar Saisi, Aziz M Osman, Bell Ngasri, Dewa Sapri, Mat London, Ahmad Yasin, Afea Deana, Joey Daud, Nazeeera Sardi, Avaa Vanja, Yoep Hitler.

Istimewanya lagi, edisi raya kali ini mengembalikan Datuk Awie sebagai teraju utama serta watak-watak baru yang digerakkan oleh penyanyi dan pelakon Kaka Azraff, Imuda serta penampilan istimewa oleh Siti Elizad Sharifuddin dan Raja Azmi.

Filem ini mengisahkan seluruh penduduk Kampong Pisang bersama-sama mengerjakan aktiviti masak-masak pada sehari sebelum raya.

Saksikan filem Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa yang akan berada di Pawagam Rumah Anda, Astro First bermula 27 Mei 2021. Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand. Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang- ulang.