Pelakon popular, Remy Ishak mengatakan filem terbaru lakonannya iaitu Sangkar bukan hanya mengetengahkan elemen sukan seni bela diri campuran (MMA), namun turut menonjolkan nilai persahabatan, kekeluargaan dan lain-lain.

Menurut Remy, dia merasakan filem arahan Kabir Bhatia itu sempurna dari pelbagai aspek.

"Filem ini bukan hanya tentang MMA, ia juga menonjolkan nilai persahabatan dan kekeluargaan yang dapat dijadikan iktibar.

"Penonton juga akan terhibur kerana banyak juga unsur jenaka diselitkan dalam Sangkar, filem ini boleh disifatkan sempurna dari pelbagai aspek,"
ujarnya.

Remy berkata demikian ketika ditemui di malam gala Filem Sangkar bertempat di eCurve, Mutiara Damansara pada Rabu.

Sementara itu, Remy menambah, filem tersebut turut menyajikan 'plot twist' yang berbeza dari sangkaan penonton.

"Sangkar juga mempunyai 'plot twist' istimewa dan berbeza dari sangkaan penonton, ia juga menambah rencah kesempurnaan pada filem ini," tambahnya.

Selain Remy, filem Sangkar turut dibintangi oleh Zul Ariffin, Mira Filzah, Ray Era, Nik Adam Mika dan ramai lagi.

Sangkar telah melakar sejarah dalam industri perfileman tanah air kerana diterbitkan oleh empat syarikat perfileman tempatan iaitu Infinitus Gold, Primeworks Studios, Astro Shaw dan MM2 Entertainment.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan filem yang menampilkan aksi sukan seni bela diri (MMA) ini, ia bakal menjengah pawagam di seluruh negara serta Singapura dan Brunei bermula 29 Ogos ini.