Laman Utama

Fizi Ali Dedah Nyaris Dihantar Ke Hospital Sakit Jiwa Gara-Gara…

gempak
Izwan Isa
06/05/2022
02:50 MYT
Sponsor Banner
Fizi Ali Dedah Nyaris Dihantar Ke Hospital Sakit Jiwa Gara-Gara…
Penyampai radio Suria FM, Fizi Ali mendedahkan, yang dia hampir dibawa ke hospital sakit jiwa oleh ibunya gara-gara keadaan mental yang kurang stabil selepas berpisah.
FIzi berkata, dia pernah mengalami fasa di mana dirinya kerap bercakap seorang diri dan kerap menangis sewaktu memandu pulang ke rumah akibat tidak boleh menerima kenyataan yang perkahwinannya dengan Shakila Koriri retak di tengah jalan.
“Kita nak tunggu berapa lama untuk move on? Setahun, dua, tiga tahun tak move on… Orang tak tahu apa kita rasa. Orang tengok kita ok je kat radio, happy happy tapi dalam hati selalu fikir pasal Ameena.
“Sampai bila entah saya nak bersedih? Setiap malam saya menangis. Sehinggakan, pada awal perceraian tu, ibu saya sampai nak bawa saya ke hospital sakit jiwa.
“Sebab waktu tu, saya banyak cakap seorang diri ketika sedang memandu kereta… kemudian sampai rumah menangis lagi. Jadi, takkanlah orang nak lihat kita macam tu selamanya?” katanya kepada Gempak.
Terdahulu, Fizi menerusi Gempak memberitahu yang dia sedang mengenali hati budi seorang wanita. Namun, ia masih dalam fasa persahabatan.
Hal itu menyebabkan ramai orang beranggapan yang Fizi terlalu cepat melalui proses move on dan dengan mudah meneruskan kehidupan selepas bercerai.
Dalam pada itu, berkongsi tentang sambutan Hari Raya Aidilfitri, Fizi memberitahu yang dia terpaksa berhari raya tanpa kehadiran anaknya, Ameena Sofia yang berada di bawah jagaan bekas isterinya.
"Tahun ini, Ameena beraya dengan ibunya dahulu. Dia masih kecil dan perlukan ibu dia. Saya faham. Jadi saya beri peluang Ameena untuk beraya bersama ibunya.
"Kalau ikutkan, saya memang tak sediakan sebarang persiapan untuk sambut raya. Sehinggakan, sepanjang Ramadan, saya sampai terlupa nak balik kampung, dan baju pun tak beli.
“Memanglah saya nampak macam tiada masalah, saya okay… Tapi saya sakit dekat dalam. Tapi, kehidupan kena diteruskan,” katanya lagi.
Untuk rekod, Fizi mendirikan rumah tangga dengan Shakilla, 32, pada 18 Februari 2018 dan pasangan ini dikurniakan cahaya mata Ameena Sofia yang kini berusia tiga tahun.
Pada Disember tahun lalu, Fizi memaklumkan dia dan Shakilla mengambil keputusan untuk berpisah selepas tiga tahun mendirikan rumah tangga.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live