Berita
Fizo Omar Buktikan Individu Bankrap Boleh Bangkit Untuk Berjaya
Selebriti popular, Fizo yang pernah diisytihar bankrap berkongsi pengalaman dan tips untuk berjaya dalam bisnes menerusi buku terbarunya, Bangkit Bila Bankrap.
Jelasnya, dia tidak malu untuk mengaku diri masih dengan status bankrap tetapi tetap berusaha dalam bisnes sehingga mempunyai 4 syarikat miliknya sendiri.
"Saya bankrap sejak tahun 2014 akibat ditipu ketika menjadi pengarah di sebuah syarikat. Sejujurnya, saya bersyukur apabila bankrap kerana sebelum ini saya berada dalam zon selesa," katanya kepada Astro Gempak.
Tambahnya, dua tahun sebelum dia bankrap, dia sudah mula berniaga burger di tepi jalan tanpa rasa malu sebagai pelakon popular ketika itu.
"Pada mulanya memang saya marahkan Tuhan dan orang yang menipu saya tapi saya kemudian bersyukur kerana melalui semua pengalaman ini saya berubah," katanya.
Ujarnya, suatu ketika dulu dia juga takut untuk bercerita perihal bankrap pada khalayak tapi apabila berlaku situasi itu dia membuang ego untuk memulakan bisnes.
Segala kepayahan dan rintangannya ketika berniaga turut dikongsi dalam buku inspirasi usahawan kali ini yang ditulis oleh Abie Abdullah.
"Jadi selebriti memang egonya tinggi. Sebenarnya, ramai yang bankrap bukan pada status tapi pemikiran dan jiwa mereka sendiri.
"Saya tak malu kongsi kisah bankrap sebab Allah dah pilih saya untuk jadi seperti ini. Malah, saya mula sedar lagi banyak saya membaca untuk timba ilmu bisnes, lagi bodoh sebenarnya saya selama ini yang berasa diri hebat," katanya.
Usahawan yang berusia 33 tahun ini juga berbangga apabila berpeluang kongsi pengalaman dalam buku tersebut selain sibuk menjadi penceramah untuk pelbagai program keusahawanan yang dihadirinya.
"Saya sudah berjumpa lebih 200,000 orang yang datang program keusahawanan. Saya tak kata saya bagus tapi masih belajar dalam ilmu bisnes," katanya.
Fizo yang kini masih menyambung pengajian Sarjana Pengurusan Sains pengkhususan Pemikiran Milenia percaya orang yang berjaya perlu berkongsi rezeki dengan orang lain dengan membayar zakat.
"Saya akui dulu dapat duit banyak tapi tak pernah bayar zakat, tak berkongsi rezeki dengan orang lain," katanya.
Meskipun sudah 4 tahun tidak berlakon, Fizo mahu terus fokus pada bisnes untuk masa depan dan berharap buku ketiganya ini dapat memberi manfaat pada semua.
Teks oleh: Elrafaei Sapi
Foto: Astro Gempak
Must-Watch Video