Laman Utama

#Foodieslife: Ada Yang Makan Menu Sama Selama 25 Tahun, Ada Yang Hanya Minum Jus Sahaja, Ini Diet Ekstrem Selebriti Hollywood

gempak
Izwan Isa
24/10/2022
12:50 MYT
Sponsor Banner
#Foodieslife: Ada Yang Makan Menu Sama Selama 25 Tahun, Ada Yang Hanya Minum Jus Sahaja, Ini Diet Ekstrem Selebriti Hollywood
Selebriti Hollywood seperti Kim Kardashian, Chris Hemsworth, Victoria Beckham dan Adele merupakan antara selebriti yang pernah mengamalkan diet untuk menurunkan berat badan atau mengubah penampilan mereka.
Selalunya, mereka mengamalkan diet yang khusus selain mengamalkan rutin senaman yang intensif. Bagi orang biasa, kaedah yang digunakan oleh selebriti dilihat sebagai satu hal yang menyeksakan.
Namun, apakah penjelasan ilmiah dan saintifik berkenaan dengan diet-diet yang diamalkan selebriti? Jom semak!

Adele

Disebabkan Adele, diet sirtfood menjadi terkenal atas sebab keberkesanan untuk menurunkan berat badan.
Diet ini juga didakwa membantu mengurangkan keradangan dan melambatkan proses penuaan. Diet sirtfoods muncul daripada buku terbitan 2016 yang mendakwa makanan tertentu boleh mengaktifkan protein dipanggil sirtuin, yang boleh menyokong metabolisme sihat dan umur panjang.
Proses diet ini juga melibatkan fasa pemotongan 1,000 hingga 1,500 kalori setiap hari, yang dianggap sangat rendah untuk orang dewasa. Oleh itu, amalan pemakanan ini masih memerlukan kajian lanjut dan tidak boleh diaplikasikan oleh sesiapa tanpa pantauan mereka yang pakar.

Kim Kardashian

Diet yang diamalkan oleh Kim Kardashian demi penampilan yang lebih langsing pada Met Gala 2022 sememangnya mengundang kontroversi kerana dianggap tidak sihat.
Dia kehilangan lapan kilogram dalam beberapa minggu dengan mengurangkan gula dan karbohidrat serta memakai sut sauna dan berlari atas treadmill.
Tindakannya tidak dianggap sebagai contoh yang baik memandangkan penurunan berat badan yang cepat tidak berterusan dan mungkin tidak membantu pembakaran lemak, terutamanya dalam jangka masa panjang.
Kaedah ini mungkin boleh menurunkan berat badan kerana badan kehilangan air, tetapi ia boleh mencetuskan kesan yo-yo, membahayakan kesihatan. Pakar mengesyorkan kehilangan berat sebanyak satu kilogram seminggu dengan perubahan kecil pada gaya hidup dan rutin.

Victoria Beckham

Demi tubuh langsing, Victoria Beckham sanggup mengamalkan diet yang sama selama hampir 25 tahun dengan hanya makan ikan dan sayur kukus atau bakar.
Pakar pemakanan mengecam rutin diet ini kerana mengambil pelbagai jenis makanan merupakan hal yang sangat penting untuk bekalan vitamin dan mineral yang cukup dalam badan.
"Cuba masukkan protein, sayur-sayuran dan buah-buahan untuk hidangan yang sihat dan mengenyangkan," nasihat pakar diet berdaftar, Brigitte Zeitlin.

Arnold Schwarzenegger

Pelakon aksi ini menjalani diet berasaskan tumbuhan yang menurut Arnold bukan sahaja bermanfaat untuk penampilan malah menurunkan kolesterol dan mencegah penuaan.
Bagaimanapun, dia masih memanjakan diri dengan menjamah stik dan minum protein shake dengan alkohol tambahan.
Hal ini sebenarnya tidak baik kerana pengambilan alkohol boleh menyukarkan penyerapan protein dalam membaiki dan membina otot.

Beyonce

Demi melakonkan watak Deena Jones dalam filem Dreamgirls, Beyonce pernah menjalani diet ketat dengan hanya minum jus. Kaedah yang digelar Master Cleanse itu memerlukan Beyonce untuk tidak makan sebarang makanan dan hanya minum jus lemon, sirap maple, dan lada.
Sesetengah pakar berpendapat diet sebegini akan menyebabkan kita kekurangan nutrien penting seperti serat, protein dan lemak sehingga kita akan terasa lesu dan sangat lapar.
Menurut US News & World Report, diet ini juga berisiko menyebabkan masalah jantung dan buah pinggang, serta penambahan berat badan jangka panjang.
Sumber: Kompas
Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini. Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live