Laman Utama
#FoodiesLife: Sukar Untuk 'Membuang'? 5 Makanan Ini Boleh Bantu Atasi Masalah Sembelit!
Sembelit menjadi salah satu masalah pencernaan yang sering kali mengganggu aktiviti harian.
Masalah sembelit boleh timbul disebabkan dari diet, cara pemakanan dan gaya hidup.
Untuk membantu melegakan sembelit, cara yang paling terbaik adalah dengan mengubah tabiat.
Hari ini, #FoodiesLife bantu dengan berkongsi lima jenis makanan yang mampu untuk mengatasi masalah sembelit:
1. Air
Dehidrasi adalah penyebab umum sembelit, dan minum banyak air boleh membantu meringankan atau menyelesaikan gejala.
Apabila berlaku dehidrasi, usus tidak dapat menambahkan air yang cukup untuk najis. Ini menyebabkan najis yang keras, kering dan boleh mengakibatkan masalah usus ini.
2. Buah Betik
Buah betik sememangnya kaya dengan air dan serat. Buah betik adalah salah satu makanan yang sangat membantu untuk menggalakkan pergerakkan usus bagi individu yang mengalami masalah penghadaman dan sembelit.
100 gram buah betik mempunyai sebanyak 1.8 g serat yang dapat membantu fungsi usus. Selain itu, betik juga mempunyai enzim yang dipanggil sebagai papain.
Enzim ini dapat membantu dalam pencernaan protein. Betik juga boleh dimakan bagi individu yang mempunyai sindrom iritasi usus atau disebut sebagai Irritable Bowel Syndrome (IBS).
Terdapat kajian yang membuktikan bahawa pengambilan betik dalam masa 40 hari dapat mengurangkan risiko sembelit dan kembung perut.
3. Sup
Sup adalah makanan berkhasiat dan mudah dicerna. Sup juga menambah kelembapan kepada najis yang keras dan padat, yang boleh melembutkan dan menjadikannya mudah untuk dilalui.
Cecair panas dan makanan juga lebih mudah dicerna.
4. Bijirin Penuh Oat
Bijirin oat ialah bijirin yang kaya dengan serat di mana satu pertiga cawan oat iaitu kira-kira, 31 gram mengandungi sebanyak 4.8 gram serat.
Mengikut kajian, bijirin oat dapat mengurangkan kesakitan yang disebabkan oleh masalah penghadaman.
Kajian lain juga membuktikan bahawa penambahan bijirin oat sebanyak 7 hingga 8 gram ke dalam makanan dapat melancarkan proses pencernaan dan pembuangan najis seterusnya mengelakkan masalah sembelit.
5. Buah Tembikai
Tembikai mempunyai serat larut yang dapat membantu memastikan saluran pencernaan berfungsi dengan baik.
Walaupun kandungan serat di dalam buah tembikai tidak terlalu banyak, namun buah tembikai telah dibuktikan dalam kajian dan menjadi salah satu makanan yang dapat mencegah terjadinya sembelit, buasir dan beberapa penyakit usus yang lain seperti penyakit divertikular.
Must-Watch Video