Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat menyaksikan majlis ringkas pendaftaran pengIslaman pembantu rumah baginda yang berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada Jumaat.

Berita itu dikongsi oleh laman Facebook rasmi Selangor Royal Office pada Sabtu.

Kenyataan itu memaklumkan Tengku Permaisuri Norashikin menemani pembantu rumah baginda, Mariam Abdullah untuk melafazkan kalimah syahadah yang dipimpin Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir.

Majlis lafaz syahadah itu juga turut disaksikan oleh Imam Besar Masjid Negeri, Muhammad Farhan Wijaya.

“DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat menyaksikan majlis ringkas pendaftaran pengislaman pembantu rumah Baginda yang berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

“Baginda berkenan menemani pembantu rumah Baginda, saudari Mariam binti Abdullah untuk melafazkan kalimah syahadah, yang dipimpin oleh YAD Dato' Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato' Setia Prof. Madya Dr. Hj. Anhar Haji Opir, sambil disaksikan oleh Imam Besar Masjid Negeri, YBhg. Ustaz Muhammad Farhan Wijaya.

“Majlis berlangsung seusai Solat Jumaat dan turut disaksikan para jemaah yang hadir,” maklum kenyataan itu.

Dalam pada itu, ruangan komen perkongsian berkenaan juga dihujani ucapan tahniah daripada netizen yang rata-rata sebak melihat foto-foto di sebalik majlis ringkas berkenaan antaranya:

“Alhamdulillah, besar pahala… InsyaAllah,”

“Daulat Tuanku. Selamat datang saudara baharu. Allahuakhbar,”

“Alhamdulillah, tiba-tiba menangis kita. Rasa terharu,”

“Daulat Tuanku… Alhamdulillah,”

Di sini Gempak kongsikan foto-foto momen bermakna tersebut: