Penyanyi Fuad Rahman mengesahkan bakal mendirikan rumah tangga dengan kekasihnya yang juga penyanyi, Tom, 36, sebelum Ramadan ini.

Fuad, 43, yang juga bekas peserta Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) berkata kepada Harian Metro, dia baru merancang untuk mengadakan majlis pernikahan terlebih dulu.

"Perancangan untuk majlis pernikahan ini juga mendapat restu daripada keluarga kedua belah pihak.

"Kami mahu mengadakan majlis pernikahan terlebih dulu dan majlis resepsi pula mungkin akan diadakan selepas Aidilfitri nanti," katanya.

Mengenai perkembangan kerjayanya, Fuad terbabit dengan pementasan Muzikal Wajah Rahsia Hati - Fauziah Ahmad Daud yang dipentaskan semalam di Gateway Theatre, Singapura di mana dia akan menyampaikan dua lagu popular iaitu Azura dan Sandarkan Pada Kenangan.

Dilaporkan, Tom yang juga peserta GV9 turut hadir memberi sokongan kepada penyanyi kelahiran Singapura itu.

Sementara itu, hubungan akrab Fuad dan Tom bukan lagi rahsia kerana sudah menjadi bualan ramai sejak mereka sama-sama menyertai program GV9.

Sebelum ini, Fuad pernah berkahwin dua kali dan Tom pula tiga kali. Mereka juga sudah mempunyai anak-anak yang sudah mencecah usia belasan tahun.

Sumber: Harian Metro