Skip to main content

Viral

Fuh! Laris Macam Pisang Goreng Panas…1,000 Unit CD Mini Album Dolla Habis Terjual Dalam Tempoh 24 Jam!

dolla-mini-album-sold-out.jpg
Mengambil langkah berani untuk melancarkan mini album dalam bentuk cakera padat (CD), percaturan Dolla berbaloi selepas 1,000 unit album berjudul ‘DOLLA Mini Album’ habis  terjual  dalam  tempoh  24  jam.

Pada mulanya Dolla  yang  dianggotai  Sabronzo,  Tabby,  Angel  dan  Syasya  cuma  merancang untuk lancarkan 500 unit CD sahaja.

Bagaimanapun,  jumlah  itu  ditambah  kepada 500 unit lagi kerana sambutan luar biasa peminat.

Meskipun penjualan CD mungkin semakin tidak  relevan  sekarang,  sebaliknya  peminat  Dolla masing-masing tidak  mahu  terlepas  memiliki  mini  album  itu.  

Anggota kumpulan Dolla, Sabronzo berkata percaturan melancarkan CD selepas kejayaan di platform muzik digital sentiasa menjadi impian  utama  mereka  juga.  

Namun baginya, album berbentuk fizikal pastinya lebih istimewa untuk dimiliki peminat mereka.

“Kami sentiasa bersyukur dengan kejayaan karya-karya kami di platformdigital. Sokongan tidak berbelah-bagi diberikan peminat sangat menyentuh hati kami dan tentunya mahu cari inisiatif lain untuk terus menghargai mereka,” katanya.

Tabby pula berkata sambutan luar biasa terhadap mini album itu satu kejayaan cukup manis dan bermakna buat mereka.

Dia berharap CD terbabit juga akan memberi kepuasan kepada semua peminat yang sudah membelinya.

“CD ini adalah bukti usaha keras kami sejak DOLLA ditubuhkan dan selayaknya dikongsikan bersama peminat.  
“Kami amat terharu atas kesungguhan mereka kerana terus menyokong termasuk sanggup membeli album kami ini,” katanya.

Mini album khas itu diterbitkan sempena pelancaran lagu baharu mereka berjudul BAD serta kejayaan showcase sulung DOLLA pada 19 Februari lalu. 

Dijual pada harga RM60, CD itu turut mengandungi buku foto serta poskad individu setiap anggotanya.

Lagu-lagu  dimuatkan  termasuk  BAD  (versi  melayu),  DOLLA  Make  You  Wanna,  Impikan  (versi melayu), Berani,  Berani  (akustik), Watch  Me  Glow,  BAD  (versi  inggeris)  dan  Raya  Raya  Raya sebagai lagu bonus.

Mula mencipta nama sekitar dua tahun lalu, Dolla meraih pencapaian cukup membanggakan dalam  tempoh singkat  dan  mencetuskan  fenomena  tersendiri  dalam  industri  muzik  tempatan. 

Bukan sekadar lagunya hit, bahkan kumpulan ini turut menjadi rebutan pelbagai jenama besar.

Pada September tahun lalu, Dolla menjadi kumpulan penyanyi wanita pertama dari Malaysia tampil di papan iklan  digital  di  New  York  Times  Square,  Amerika  Syarikat.  

Showcase sulung mereka pada 19 Februari lalu juga cukup membanggakan apabila tiketnya terjual habis.

 
Advertisement