Laman Utama

#G The Untold Story: Kacak Restu DSV Kahwin, Cik B; “Ayah Baru Okay Tapi Jangan Childish”

gempak
Asraf Aided
03/10/2021
03:55 MYT
Sponsor Banner
#G The Untold Story: Kacak Restu DSV Kahwin, Cik B; “Ayah Baru Okay Tapi Jangan Childish”
Penulis percaya, ada yang beranggapan, tak sepatutnya dua remaja adik beradik ini menjadi popular; mereka bukan selebriti, bukan juga tokoh yang telah mencipta sejarah untuk negara.
Namun, penulis tetap percaya, ada juga yang tidak mempunyai masalah dengan kemunculan tiba tiba Cik B dan adiknya, Kacak ; yang tentulah mendapat tempias popular dari ibunya, usahawan sensasi Datuk Seri Vida.
Baik Cik B atau Kacak, keduanya macam magnet. Barangkali ada yang benci, tapi orang tetap ingin ambil tahu tentang mereka, walaupun hanya sekadar menyibuk soal apa yang Cik B makan atau apa yang Kacak pakai hari ini menerusi intaian di platfrom media sosial seperti Instagram.
Apa lagi apabila Cik B dan Kacak 'turun lapangan' memuntahkan peluru demi peluru setelah heboh satu Malaysia hasrat ibu mereka ingin kembali menikah buat kali keenam dengan mantan pembantu peribadinya, Iqbal. Macam ada 'bola bola api' saling berhentam di angkasa dengan kenyataan kenyataan balas yang lucu dan terkadang tak sepatutnya.
Lantas, saat Cik B dan Kacak masih menjadi buah mulut mengenai kontroversi kahwin tak kahwin ibunya, #Gempak The Untold Story meminta kesudian mereka berkongsi rasa perihal yang hampir membuat khalayak muak itu.
Secara eksklusif buat pertama kali kepada Gempak, Cik B dan Kacak (terima kasih pengurus Cik B, Sam kerana mengatur sesi ini) memberi justifikasi dalam setiap tindakan yang diambil saat pertemuan di kediaman mereka di Ipoh, Perak.
Baca dan hadam apa yang pemilik nama sebenar Nur Edlynn Zamilleen Muhammad Amin,16, dan adiknya, Muhammad Eric Zecquan Mohd Amin (Kacak), 14, ini luahkan.
Polos, bersahaja dan lucu, namun meski hanya remaja, sebagai anak, tiada di antara Cik B atau Kacak yang mahu puspita hati mereka, kandas lagi kesekian kalinya dalam prahara cinta.
G: Apa khabar Cik B dan Kacak? Sihat? Boleh kongsikan sedikit perkembangan kalian?
Cik B: Baik Alhamdulillah, saya akan menjalani penggambaran drama dan kini dalam proses untuk melancarkan single terbaharu juga. Apa yang saya boleh katakan setakat ini, lagu itu mengisahkan tentang penceritaan yang sedih.
Kacak: Selain daripada duduk di rumah, saya sudah mula terlibat dalam perniagaan sendiri. Saya menjual pakaian tetapi tidak selalu, boleh dikatakan secara on and off yang melibatkan kawasan di Ipoh dan Kuala Lumpur.
G: Maaf, sejak kebelakangan ini kisah ibu anda berdua, Datuk Seri Vida (DSV) dengan bekas pembantu peribadinya, Iqbal hangat diperkatakan. Sejujurnya adakah anda berdua selesa tentang perkara ini?
Cik B: Sebenarnya saya tidak mahu masuk campur sebab apa yang kita cakap akan dikaitkan orang, boleh jadi salah faham. Memang tak mahu masuk campur tapi kadang-kadang adalah saya balas ciapan dia (Iqbal) di Twitter, saya tak cakap banyak. Kalau media tanya saya jawablah, cuma sekarang saya rasa malas untuk masuk campur hal mereka.
Kacak: Kalau diam pun tidak boleh juga kerana kami sebagai anak mestilah lakukan sesuatu.
G: Kacak pernah sebut tentang No Money No Talk di TikTok, adakah isu itu sudah selesai sebetulnya?
Kacak: Saya tak tahu kenapa orang selalu sebut tentang No Money No Talk itu, sebenarnya ia sekadar satu gurauan. Video itu hanya untuk suka-suka dan tiada niat nak sakitkan hati mana-mana pihak. Orang ada cakap saya nak duit, harta dan sebagainya, padahal saya tak mahu semua itu. Saya memang bergurau dan tiada unsur sindiran.
G: Boleh kongsi tentang komunikasi ibu anda berdua, apa yang beliau cakap tentang Iqbal?
Cik B: Ya, kalau kami tanya mama, selalunya dia akan jawab 'Insya-Allah'.
Kacak: Mama tak selalu sangat cakap pasal diri dia, kami pun faham dia tak mahu kaitkan kami dalam kisah ini.
G: Secara peribadi, boleh cerita tentang bagaimana hubungan anda berdua dengan Iqbal sebelum ini?
Cik B: Saya dengan dia (Iqbal) memang dah lama renggang, boleh dikatakan saya tak selesa.
Kacak: Hubungan saya dengan Iqbal boleh dikatakan baik, macam kawan biasa sebelum ini. Tapi sekarang sudah kurang lah, sudah tak baik seperti dulu.
G: Adakah isu DSV bersama Iqbal ini mengganggu emosi anda berdua?
Cik B: Agak menganggu, bila kita nak cakap saja mesti akan ada orang kecam.
Kacak: Sebenarnya ramai tak faham apa yang kita nak sampaikan, mereka ada sokong pihak yang berbeza.
G: Untuk situasi sekarang, apa yang anda mahu sampaikan?
Kacak: Sekarang, kami dah tak mahu terlibat dalam perkara ini.
G: Iqbal sudah melamar DSV, apa yang anda boleh komen?
Kacak: Dia sudah melamar, saya pun terima sajalah, dia pun dah nampak nak sangat dekat mama.
G: Adakah anda berdua terbuka untuk terima bapa tiri muda macam itu, atau rela seperti sekarang sahaja?
Cik B: Saya rela macam ini, tapi kalau saya nak ayah baru pun, saya mahu yang betul-betul boleh menjadi ayah, yang bukan childish.
Kacak: Ya, jika kami memerlukan ayah baru, kami perlu seorang yang boleh menjaga dan mendidik kami. Sebenarnya kami tak kisah tentang umur pun, kalau mereka jadi kahwin ke apa, kami akan diam sahaja. Kami boleh jaga diri kami sendiri dan kami pun boleh jaga mama. Jadi, kalau dia sakitkan hati mama, ternyata dia adalah orang yang salah.
G: Difahamkan Kacak ada mengirim mesej kepada Iqbal dan meminta maaf, apakah yang membuatkan Kacak bertindak sebegitu? Adakah sebab emosi mama terganggu atau ada menangis di rumah?
Kacak: Ya saya ada hantar mesej kepadanya, tiada pun mama emosi atau menangis di rumah. Saya hanya tak mahu gaduh-gaduh dan hantar saja mesej minta maaf. Tapi bila dah minta maaf pun dia masih bertindak seperti itu, jadi saya pun sudah malaslah.
Cik B: Bila Kacak minta maaf pun, dia beritahu orang. Kita kalau sudah minta maaf dekat seseorang tapi dia beritahu orang pula, apa yang kita rasa? Lebih baik diam-diam saja kan?
G: Bagi anda berdua, adakah penting untuk memiliki bapa baru? Kalau mahu bapa baru, macam manakah ciri-cirinya?
Cik B: Dalam seumur hidup, kami sudah hidup tanpa ayah sudah lama, kami tak kisahlah ada ayah atau tidak. Sebelum ini ada 'ayah' pun mereka membuatkan kami rasa trauma. Kiranya kami susah untuk percaya mana-mana lelaki sekarang ini.
Kacak: Tak kisah pun kalau mama nak kahwin dan kami ada ayah baru, asalkan lelaki itu boleh jaga mama dan boleh beri apa yang mama mahu.
G: Baru-baru ini, Iqbal ada dedah tentang Cik B restu dan nak minta kereta Mercedes lebih RM1 juta, untuk apa sebenarnya? Bukankah Cik B sendiri mampu beli?
Cik B: Kalau ikutkan dia ada cakap mahu beri RM1 juta sebulan, tak akanlah Mercedes 1 juta pun tak boleh beli? Lepas tu dia cakap itu menyusahkan, yang sebenarnya saya gurau-gurau saja. Ingat saya nak sangat? Saya pun belum ada lesen memandu. Saya tak boleh gurau dengan dia, kalau gurau mesti dia beritahu orang atau media, sebab itu saya malas.
Kacak: Sudah tentu hal itu satu gurauan, Cik B pun boleh dapatkan sendiri kereta RM1 juta.
G: Bak kata orang, Iqbal tak habis tayang duit banyak, mungkin menampakkan anda berdua mahu sangat harta dia (maaf jika agak kasar). Ada pernah terlintas rasa begitu ketika melihat video-video Iqbal?
Cik B: Campak campak duit? Campak macam itu buat apa? Campaklah ke sini, boleh kutip. Kalau nak tunjuk duit pun, pegang biasa saja pun memadai, tak perlu campak, itu dah macam publisiti murahan.
Kacak: Mengarutlah nak campak duit macam itu, kalau nak buktikan diri kaya ke apa, tak perlu buat macam itu. Simpan saja untuk diri sendiri. Kalau dia nak cakap mama menggunakan dia atau apa, dulu pun dia dah pernah kerja dengan mama. Kadang-kadang nampak macam dia nak buat dia innocent.
G: Sekarang anda berdua lebih selesa untuk mendiamkan diri, tetapi sebenarnya keadaan anda okay atau bagaimana?
Cik B: Kami okay saja dan akan terus pantau sajalah mama dengan 'dia' itu.
Kacak: Kami sudah buat hal sendiri, apa yang mereka mahu lakukan biarkan saja. Apa yang penting kami akan tetap jaga mama.
G: Difahamkan Cik B akan menjalani penggambaran cerita seram, banyak tawaran berlakon yang diterima Cik B? Boleh kongsi sedikit? Adakah Cik B mahu fokus dalam bidang lakonan selepas ini?
Cik B: Ya, saya ada terima banyak tawaran cuma masih belum tahu nak terima atau tidak. Bimbang ada yang bertembung jadual dengan kerja lain dan pelajaran. Saya akan terus fokus dalam bidang lakonan sebab saya suka berlakon, walaupun dulu saya malu-malu, tapi sekarang saya dah lebih berkeyakinan.
G: Kacak pula bagaimana? Mahu cuba bidang lakonan seperti Cik B?
Kacak: Belum tiba masanya lagi untuk saya, tapi mungkin juga saya boleh cuba pada masa akan datang. Setakat ini, masih belum ada minat sangat.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live